10 December 2010

(Video) Anwar dedah ahli umno dapat projek RM2 bilion: 1-2 kroni umno diberi kontrak sebanyak RM2 bil, ketuanan Melayu untuk 1-2 kroni umno…



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan tindakan kerajaan Umno-BN memberikan projek-projek lumayan Kementerian Pertahanan berjumlah lebih RM2 bilion kepada seorang dua individu, lapor TV Selangor.

Beliau berkata tindakan itu membuktikan Umno hanya menggunakan slogan Ketuanan Melayu untuk memperkayakan kroni.

Anwar berkata sejak tahun 2008, seorang individu yang dipercayai dari Umno Bukit Gantang Perak telah diberikan pelbagai tender berjumlah RM2 bilion.

“Ada tender yang dikeluarkan, tender terhad sejak 2008 yang diberikan kepada dua orang. Sebanyak 16 syarikat bumiputera dipelawa tetapi kebanyakan syarikat itu, seperti dokumen yang terdapat di tangan saya.

“Jadi ada seolah satu pakatan di peringkat tertinggi kementerian pertahanan dengan satu dua orang tokoh Umno atas nama Melayu. Jadi Melayu ini, ketuanan Melayu ini hanya menguntungkan dua tiga orang dan lain itu pasukan sorak menyokong mereka.

“Saya bagi contoh berdasarkan bukti mengapa kementerian sering mengelak mengadakan tender terbuka. Mengapa 16 syarikat ini sahaja dipelawa sedangkan banyak lagi syarikat bumiputera yang cukup kelayakan memenuhi kriteria yang harus diajak untuk bersama,” kata Anwar yang juga adalah ahli parlimen Permatang Pauh.

Beliau kemudian menunjukkan dokumen-dokumen berkaitan untuk membuktikan bahawa tender-tender kementerian pertahanan diberikan kepada kroni Umno berkenaan dengan sewenang-wenangnya.

“Ada syarikat, Gahmata Sajian Sdn Bhd penswastaan perkhidmatan katering Angkatan Tentera Malaysia bagi kawasan Sabah, Sarawak dan Labuan nilai RM 800 juta dipunyai oleh seorang bernama Syed Abu Hussin tanpa tender runding terus dari Mindef.

“Kemudian diberi satu lagi syarikat. Nama lain. Namanya Komatra Sajian Sdn Bhd, penswastaan perkhidmatan katering Angkatan Tentera bagi zon Utara dan Timur Semenanjung. Nilai RM 600 juta.

“GPB COrporation Sdn Bhd kontrak 1 Jan 2009 nilai RM 300 juta ringgit. Tuan punya, dan alamat daftar pun sama No 10 level 2 Damai Kompleks. Tuan punya, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, tiada Melayu lain,” katanya.

Anwar kesal kerana pemberian kontrak-kontrak lumayan kepada kroni Umno dari Perak bukan sahaja membelakangkan kepentingan kementerian pertahanan sendiri tetapi meminggirkan keutamaan untuk membantu bumiputera umumnya.

“Apa hubungan Melayu ini dapat sampai RM2 bilion.

“Apakah ini bukan satu kompromi terhadap mutu dan kepentingan kementerian pertahanan? Apakah ia satu usaha mengetepikan kepentingan ramai pasukan tentera? Apakah ini tanda, kita betul-betul patriotik kepada negara dengan memunggah kekayaan, memperkaya satu, dua orang melalui perbelanjaan ketenteraan,” katanya.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin