Pakatan mahu saman Speaker cabar hukuman gantung enam bulan
Ahli-ahli Pakatan Rakyat bercadang untuk mengambil tindakan terhadap Speaker Dewan Rakyat ekoran hukuman gantung enam bulan dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga wakil mereka yang lain.
Tiga daripada empat wakil itu merupakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selain Anwar tiga yang lain ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak).
Karpal berkata, pihaknya akan memohon mendapatkan semakan penghakiman berhubung perkembangan hari ini, yang menurutnya satu bentuk salah guna kuasa oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Pengerusi DAP Kebangsaan itu juga menggesa Speaker agar meletakkan jawatan kerana sudah tidak ada autoriti moral menerajui Dewan Rakyat.
“Kami tidak menjangkakan usul sedemikian. Itu sebabnya kami bertindak keluar. Kami mungkin akan membawa (isu ini) ke mahkamah.
“Ada kes rujukan dalam kes Gobind Singh (Ahli Parlimen Puchong) di mana kami membawa Speaker, Pandikar Amin, ke mahkamah,” katanya lagi.
Kata Karpal, tindakan Speaker keterlaluan dan tidak boleh dipertahankan sama sekali.
“Kami mahukan satu keputusan penghakiman mengenainya, kami tidak boleh membiarkan beliau bertindak sedemikian.
“Kami tidak mahu perkara ini menjadi rujukan pada masa-masa akan datang,” kata Karpal kepada pemberita selepas bertindak keluar Dewan Rakyat hari ini.
Karpal menambah, mereka tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka.
“Tidak ragu-ragu lagi Speaker telah hilang autoriti moral untuk mempengerusikan prosiding,” katanya lagi.
“Dalam kes Anwar dan diri saya, syornya ialah kami akan digantung enam bulan.
“Dengan saya sebagai tambahan kepada (hukuman), celaan buat kali pertama, sekarang kedua-dua kami tidak diambil keterangan.
“Anwar tidak diberikan peluang untuk didengar, saya juga tidak diberikan peluang untuk memberi keterangan, begitu juag (Ahli Parlimen) Gombak dan Subang,” katanya lagi.
Anwar juga mempersoalkan bagaimana Dewan Rakyat boleh memberi penghakiman yang adil jika Speaker bias dan tidak profesional.
“Sebagaimana dikatakan oleh Karpal, opsyen terbaik ialah pergi ke mahkamah dan kami tidak ada keyakinan dalam proses ini tetapi sekurang-kurangnya ada ruang untuk berbuat demikian,” katanya.
Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengarahkan Pandikar agar menggunakan peraturan mesyuarat.
“Menteri dari Padang Renggas memberi arahan dan arahan terakhir ialah menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 di mana menggantung setiap anggota yang bangun atau mencabar Speaker,” katanya.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung Anwar, Karpal, Sivarasa dan Azmin daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO.
Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan apabila kesemua anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan menyebabkan Nazri mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain iaitu Karpal, Sivarasa dan Azmin kerana menghina dewan.
Terdahulu persidangan menjadi kecoh sebaik usul menggantung Anwar dikemukakan oleh Nazri. TMI
No comments:
Post a Comment