17 December 2010

Markaz Diserbu Ketika Ceramah



Pukul badan guna rantai sucikan dosa

GOMBAK: Memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam adalah antara 23 penyelewengan agama diamalkan kumpulan ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Taman Sri Gombak di sini, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.50 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam itu, kira-kira 200 orang, termasuk kakitangan awam, pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) ditahan.

Turut ditahan wanita dan kanak-kanak ketika masing-masing sedang mendengar ceramah disampaikan seorang lelaki warga Iran yang dipercayai ketua fahaman berkenaan.

Bagaimanapun, berpuluh lagi melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat itu sambil melaungkan takbir sebaik menyedari markas itu diserbu 80 pegawai dan anggota JAIS.

Difahamkan, setiap ahli kumpulan dibekalkan tiga batu sebesar kurma yang diletakkan di depan sejadah dan ketika sujud dahi jemaah perlu menyentuh batu itu.

Penyelewengan lain dilakukan kumpulan ajaran sesat itu ialah menziarahi kubur Saidina Husain sebagai ganjaran ke syurga, menghina isteri-isteri Nabi SAW serta mengharuskan sembahyang jamak pada bila-bila masa.

Petang semalam, lelaki warga Iran berusia 48 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang dekat sini, bagi perintah jaminan sementara pendakwa syarie menyiapkan kertas siasatan.
Hakim Syarie, Saiful Azli Jamaludin membenarkan mereka dijamin RM2,000 seorang dengan dua penjamin dan memerintahkan lelaki Iran menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta tidak dibenarkan ke luar negeri sehingga tarikh sebutan akan datang.

Saiful kemudian menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan kes.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, mempertikaikan arahan pihak berkuasa agama yang dinyatakan dan diberikan melalui fatwa.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAIS, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, berkata ciri-ciri kesalahan kumpulan itu termasuk Imam adalah maksum, kemunculan Imam Mahadi bersama orang mati untuk memberi keadilan, menyanjung Saidina Ali secara keterlaluan dengan menambah dalam Syahadah serta menghalalkan dan mengamalkan nikah mutaah (perkahwinan kontrak).

Katanya, kumpulan itu dikenal pasti dua tahun lalu dan dikategorikan sebagai serius kerana mereka menyebarkan fahaman Syiah secara sembunyi dan menggunakan pelajar Malaysia yang belajar di republik itu dengan menawarkan biasiswa serta memberi hadiah berupa buku.

“Malah, apabila ada pembesar Iran melawat negara ini, mereka mengadakan kempen dan penerangan berhubung fahaman itu sebelum membuat lawatan ke pusat pengajian tinggi tempatan untuk menyebarkan fahaman mereka,” katanya di sini, semalam.

Beliau menyifatkan tangkapan kelmarin adalah yang terbesar dalam sejarah JAIS dan tidak menolak kemungkinan orang ramai berminat menyertai ajaran itu kerana membenarkan perkahwinan mutaah yang menjurus kepada perkhidmatan seks.

Muhammad Khusrin berkata, daripada 200 yang ditahan, 128 masih berada dalam tahanan, manakala selebihnya kanak-kanak dan remaja dibebaskan. -bh

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin