Kerajaan Umno-Barisan Nasional dan organisasi di bawahnya yang bertanggungjawab menjaga kemakmuran negara harus tahu membezakan setiap tindakan yang wajar diambil bagi setiap kesalahan yang dilakukan rakyat dan bukannya bertindak membuta tuli.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, adalah penting kepada kerajaan dan jabatan di bawah seliaannya seperti polis bertindak bijak dan rasional dari segenap sudut supaya pentadbiran mereka dipandang tinggi oleh masyarakat dan dunia amnya.
" Perkara ini telah lama dibicarakan dan dinasihatkan kepada kerajaan tetapi pihak kerajaan masih tidak mengambil endah.
" Pihak berkuasa harus memahami apa itu jenayah yang boleh membawa kepada penangkapan. Kita seharian nampak kereta yang diletakkan di tepi jalan, menghalang lalu lintas, memberi kesan buruk kepada orang ramai, tetapi tidak ada apa tindakan diambil.
" Tetapi satu usaha demokrasi,berhimpun,menyampaikan pendapat, menyampaikan memorandum, itu adalah hak dan sebahagian daripada proses demokrasi (tetapi) dianggap sebagai jenayah," ujar Sha'ni ketika diminta mengulas berhubung penahanan tiga mahasiswa dalam satu perhimpunan menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membantah kenaikan harga minyak dan gas.
Semalam, satu perhimpunan aman yang dianjurkan kumpulan pelajar berpakaian hitam berkahir dengan penahanan tiga daripada 100 mahasiswa tersebut yang dibawa ke IPD Putrajaya.
Salah seorang daripada mereka ditahan ketika meminta kebenaran dari pihak polis untuk menyampaikan ucapan selepas berjaya menyerahkan memorandum kepada wakil dari pejabat JPM.
Mereka hanya dilepaskan kira-kira jam 6 petang iaitu selepas disoal siasat selama 4 jam dan diminta untuk melaporkan diri ke balai polis yang sama pada 23 Disember depan.
Membantah tindakan penahanan mereka, Sha'ni berkata, pelajar dan mahasiswa merupakan penyumbang penting kepada pembangunan negara dan mereka mempunyai hak sebagai warganegara untuk membuat sebarang teguran di atas tindakan kerajaan yang dirasakan membebankan rakyat di negara ini.
" Kalau perkara ini tidak diterima dan dianggap jenayah, ini merupakan satu kesilapan besar yang kita lakukan kepada generasi akan datang," tambah Sha'ani lagi.
Sementara itu, menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Siti Aishah Shaikh Ismail pula berkata, tindak tanduk kerajaan dalam menangani bantahan mahupun teguran rakyat sebagai tindakan 'kepartian'.
" Yang saya tekankan mereka bersikap atas kepentingan Umno dan Barisan Nasional itu sendiri.Mereka melakukan itu hanya kerana mahu menjaga pemimpin Umno- Barisan Nasional dan tidak melakukan yang sepatutnya sebagai sebuah kerajaan.
" Jika sebuah kerajaan itu dipimpin atas nama kerajaan, sepatutnya mereka lebih demokrasi dan lebih bertoleransi untuk menerima kritikan daripada rakyat kerana mereka itu sedar diri mereka adalah kerajaan,"tegas Aishah.
Katanya tindakan kerajaan mahupun polis ketika berhadapan dengan sebarang perhimpunan aman mahupun demonstrasi membawa suara rakyat, jauh tersasar dari yang sepatutnya.
Malah institusi kepolisan yang sepatutnya menjaga keamanan juga seolah-olah menjadi kuda tunggangan pihak tertentu.
" Sepatutnya pihak polis bersikap tidak memihak kepada mana-mana kerana kalau kita lihat semalam, yang mencetuskan keadaan itu semakin huru-hara ialah pihak polis itu sendiri.
" Apabila mereka sudah menyatakan yang mereka mahu bersurai tetapi apabila mereka berjalan untuk bersurai,mereka dihalang oleh anggota polis yang rasakan cukup kurang ajar yang mana mereka sendiri menghalang mahasiswa itu sendiri untuk bersurai," katanya yang melihat sendiri video penyerahan memorandum itu semalam.
Tambah beliau, kerajaan harusnya lebih bersikap rasional berhubung bantahan rakyat tidak kira mahasiswa atau rakyat biasa kerana tindakan rakyat itu berpunca dari rasa kurang senang dengan fenomena yang diciptakan oleh kerajaan sendiri.
" Saya kira mahasiswa semalam diberikan ruang kerana mereka ini satu entiti penting kerana mereka mewakili keseluruhan anak-anak yang terpaksa berhadapan dengan taraf hidup yang lebih tinggi, hidup di bandaraya, terpaksa berhadapan dengan segala macam kerenah kerajaan yang ada,"katanya lagi. - tvsnews
No comments:
Post a Comment