Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan bakal menanggung kerugian RM83.45 juta dan membabitkan tanah seluas 20 ekar dalam skandal terbaru PKFZ 'dalam pembikinan'.
Ia merujuk kepada projek usahasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan Bindforce Sdn Bhd, bagi menubuhkan Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) yang bernilai RM243.38 juta.
"Saya bangkitkan perkara ini kerana inilah projek yang dikatakan projek usahasama swasta, tetapi kerajaan menanggung kerugian akibat 'letter of undertaking,"(surat aku janji) katanya merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara 2009.
Bindforce memegang ekuiti 60 peratus bernilai RM29.05 juta manakala LKIM memegang 40 peratus dengan nilai RM11.62 juta.
Ia akan dibangunkan atas tanah seluas 20 ekar yang diberi sewa oleh LKIM dengan perjanjian konsesi swasta secara Bina Operasi Pindah (BOT) selama 30 tahun yang dibuat pada 16 September 2004.
Kos pembinaan dibiayai oleh MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pula didakwa mengeluarkan surat sokongan kepada OSK Trustee Berhad pada 15 September.
OSK Trustee pada 6 Januari 2010 kemudiannya didakwa mengisytiharkan 'event of default' terhadap MITP menuntut pembayaran hutang bernilai RM208.62 juta termasuk faedah.
LKIM sebelum itu mengeluarkan 'Letter of Undertaking'(surat aku janji) menyatakan perjanjian akan dikuatkuasa jika terdapat 'event of default' di pihak MITP.
Dengan milikan 40 peratus ekuiti, kerajaan terpaksa menanggung RM83.45 juta dari tuntutan OSK tersebut yang menurut Dzulkefly persis skandal PKFZ.
"Tanggungan pinjaman bon RM83.45 juta, surat sokongan merupakan liabiliti kepada kerajaan pusat, dan tanah 20 ekar LKIM tidak dapat dituntut semula kerana dicagar MITP dan kini MITP tidak aktif," katanya.
Tindakan tersebut juga jelasnya menjadi 'off balance sheet' bajet kerajaan dan dalam masa sama melebarkan lagi defisit fizikal negara.
"Berapa banyak projek ETP dan RMK serta Bajet 2011 yang akan diberi jaminan 'undertaking' oleh kerajaan pusat atas nama inisiatif 'Public Private Partnership?” soalnya. - tvsnews.net/
No comments:
Post a Comment