08 October 2010

Pemilik Gen2 Dan Satria Neo Dipanggil Semula Rujuk Proton



Pemilik dua model diminta rujuk Proton

Pengeluar kereta nasional, Proton, semalam mengumumkan panggilan semula sukarela bagi model kereta Gen.2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 disebabkan kerosakan pada komponen ‘Clock Spring’ yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.

Panggilan semula sukarela itu sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global Proton membabitkan 15,911 (2%) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan sepanjang tempoh empat tahun. Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata ‘Clock Spring’ berkenaan menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada radio, hon dan cruise control.

“Walaupun jumlahnya kecil, keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami dan memohon maaf atas apa jua masalah yang timbul daripada aktiviti ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, ujian rutin mengenal pasti kerosakan Clock Spring itu boleh menyebabkan masalah, antaranya bunyi geseran di dalam stereng, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang tanpa amaran, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes ekstrem, pelepasan beg udara sebelah pemandu.

Syed Zainal Abidin berkata, panggilan semula ini adalah komitmen pihaknya terhadap keselamatan pelanggan dan prestasi kenderaan di bawah program Jaminan Kualiti Global Proton.

“Kami berharap pelanggan memahami bahawa panggilan semula ini perlu bagi memastikan mereka terus yakin terhadap keselamatan dan prestasi kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kenderaan terbabit boleh menghubungi mana-mana pusat servis Proton yang sah untuk membuat temu janji bagi mendapatkan pemeriksaan percuma. Semua kos kerja dan alat ganti berhubung penggantian Clock Spring itu akan diberikan percuma dan Proton akan memaklumkan pemilik kenderaan terbabit mengenai perkara ini melalui pos.

Pada masa yang sama, Proton menyediakan laman web di alamat www.protonaftersales.com untuk pelanggan memeriksa sama ada kenderaan mereka antara yang terbabit dengan memasukkan nombor casis atau merujuk kepada panduan bergambar disediakan. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi Proton i.Care di 1-300-880-888, atau wakil jualan terdekat. -hmetro

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese