29 October 2010

Guan Eng jawab tohmahan Umno-BN

Setiausaha Agung DAP Kebangsaaan, Lim Guan Eng menempelak dakwaan dan propaganda Umno-BN yang menyatakan Pakatan Rakyat tidak mampu untuk mentadbir dan memerintah sesebuah negeri apatah lagi sebuah negara.

Beliau membawa beberapa isu yang sengaja ditimbulkan oleh Umno-BN di negeri yang ditadbirnya iaitu Pulau Pinang.

"Umno menyalahkan kerajaan Pulau Pinang yang memberikan wang kepada rakyat melalui pelbagai bentuk program termasuk insentif kepada pelajar tahfiz, dengan pandangan yang sangat negatif seolah-olah ianya suatu kesalahan yang sangat besar.

"Sebaliknya, tindakan mereka yang mengambil wang rakyat dan memasukkan dalam poket sendiri itu tidak salahkah?" ujarnya kepada kira-kira 200 orang yang hadir pada sebuah ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dun Galas di Sungai Terah malam tadi.

Tambahnya, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang juga telah menyambung semula program Sekolah Agama Rakyat yang dihentikan oleh kerajaaan Umno-BN.

Selain itu, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang ini memaklumkan mengenai kemampuan Pakatan Rakyat mengurustadbir negeri itu dengan lebih baik apatah lagi dalam membela nasib dan keperluan orang Islam.

"Pada tahun akhir semasa pemerintahan ketua menteri sebelum ini, Koh Tsu Koon kerajaan negeri Pulau Pinang hanya memberikan peruntukan untuk orang Islam sebanyak RM12.5 juta, tetapi setelah kita (Pakatan Rakyat) mengambil alih, peruntukan tersebut telah meningkat kepada RM20.5 juta dan terbaru RM24.3 juta," katanya.

Beliau turut menepis segala bentuk isu berbentuk sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak lawan bagi memecahbelahkan kesepakatan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Tidak timbul isu siapa(parti) yang lebih berkuasa dalam pakatan Rakyat kerana rakyatlah yang lebih berkuasa bagi Pakatan Rakyat.

"Umno-BN sanggup menimbulkan isu-isu sensitif perkauman ini adalah bertujuan untuk menutup isu sebenar yang lebih besar iaitu kronisme dalam parti-parti komponen BN.

Beliau membawa contoh isu skandal terbesar iaitu PKFZ yang melibatan kos yang begitu besar sehingga kerajaan mengalami kerugian.

"Selepas Ling Liong Sik ditangkap, kita lihat seolah-olah Ling pula yang lebih berkuasa dan bijak daripada Perdana Menteri ketika iaitu Mahathir sedangkan semua tahu siapa yang sebenarnya yang lebih bijak.

"Bagaimana Ling Liong Sik yang hanyalah seorang menteri boleh tipu Mahathir? semua ini rakyat sudah boleh membuat penilaian dengan bijak," ujarnya lagi. - n45galas.pas.org.my

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese