21 September 2010

Hapuskan Semua Kumpulan 'Gangster'

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Polis menumpukan usaha membanteras gangterisma secara menyeluruh dan bukannya tertumpu pada kaum India sahaja seperti yang dipinta oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Jika pihak Polis mengikut kehendak emosi Murugiah, masalah gangterisma tidak akan selesai kerana ia bukan wujud kalangan kaum India sahaja. Kenyataan Murugiah dengan sendiri memberikan gambaran buruk tentang masyarakat India dan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau sebagai seorang Menteri.

Gejala gangterisma ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi termasuk kalangan VIP dan ahli Politik yang melindungi mereka. Kumpulan gangster ini ada di mana-mana dalam negara kita. Dalam pilihanraya pun mereka boleh muncul seperti serangan yang berlaku ke atas Markas Pemuda PAS ketika Pilihanraya Kecil Bagan Pinang.

Beberapa kawasan di Lembah Klang dikenali oleh masyarakat umum sebagai kawasan gangster seperti di kawasan Chow Kit, Jalan Pasar dan Jalan San Peng, Jalan Petaling dan Brickfield di Kuala Lumpur manakala di Selangor, kawasan Puchong dan Klang cukup ditakuti kerana menjadi sarang gangster dan Ah Long.

Pemantauan dan siasatan terperinci untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan ini yang sebahagiannya terlibat dengan jenayah berat termasuk membunuh, menculik, menyiksa dan menyerang mangsa mereka.

PAS berharap agar pihak Polis dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak terbabit sama dalam memberikan perlindungan atau bersubahat dengan kumpulan gangster ini. PAS mahu satu jaminan daripada pihak Polis tentang keselamatan rakyat keseluruhannya.

Negara ini sudah cukup terkenal sebagai negara transit dadah, pemerdagangan orang dan juga penyeludupan barang serta penjenayah. Dan amat merisaukan jika dalam negra sendiri gangterisma dibiarkan berleluasa. Hapuskan mereka tanpa mengira gangster India, Cina atau Melayu kerana tiada bangsa dan agama yang membenarkan kewujudan kumpulan samseng dalam komuniti mereka.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin