09 August 2010

Royalti Terengganu ditentukan Khamis ini



Kerajaan negeri berharap rundingannya dengan Petronas mengenai tuntutan wang royalti untuk dikembalikan kepada Terengganu dapat dimutamadkan pada Khamis ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ada dua perkara akan dirundingkan dengan Petronas pada hari itu, iaitu mengenai mengembalikan royalti kepada Terengganu dan meminta agar perjanjian asal dikekalkan.

Beliau berkata semasa rundingan yang diadakan dahulu, Petronas meminta supaya perjanjian tersebut diubah sedikit dengan ditambah perkataan “ex-gratia”.

Bagaimanapun katanya kerajaan Terengganu tidak bersetuju dan draf perjanjian itu yang meletakkan perkataan ex-gratia, dan mengikut keputusan mesyuarat terakhir bulan lepas, Petronas telah menggugurkan perkataan itu, tetapi ada pula frasa lain yang dimasukkan yang tidak dipersetujui oleh kerajaan Terengganu.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) yang bertanyakan mengenai hasil rundingan terkini berhubung isu tuntutan royalti petroleum antara kerajaan Terengganu dengan Kementerian Kewangan dan Petronas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ahmad berkata kerajaan negeri masih lagi meneruskan rundingan dengan Kementerian Kewangan, Petronas dan Jabatan Peguam Negara berhubung tuntutan royalti petroleum.

Mengenai wang royalti yang digunakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) beliau berkata, SPNB telah menggunakan sebanyak RM880 juta wang royalti untuk membina rumah mesra rakyat seluruh negara termasuk di Terengganu.

Pada peringkat awal, katanya kerajaan pusat bersetuju membayar kembali kira-kira RM700 juta kepada kerajaan Terengganu yang digunakan SPNB dan ia tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Cuma tinggal lagi kira-kira RM120 juta yang digunakan oleh SPNB untuk projek perumahan mesra rakyat di Terengganu yang kita pertikaikan dan kita mohon kerajaan pusat membayarnya.

“Pada rundingan terakhir baru-baru ini kementerian (Kewangan) akur dengan permintaan Terengganu itu dan saya percaya RM880 juta yang dikeluarkan oleh SPNB itu akan dikembalikan kepada Terengganu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam).

Beliau ingin tahu kedudukan SPNB yang menggunakan wang kerajaan Terengganu sebanyak RM873.4 juta untuk membina rumah mesra rakyat di seluruh negara. — Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese