24 August 2010

Khutbah: PAS harap pasukan khas telus




Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menggesa pasukan khas yang ditubuhkan polis telus dalam siasatan dan mampu menyelesaikan isu khutbah Jumaat di Pulau Pinang.

Baginya, Umno BN kini ketandusan isu untuk dibangkitkan sehingga terpaksa menggunakan isu perkauman bagi mengalih perhatian rakyat terhadap permasalahan negara.

Beliau menyatakan demikian sebagai merujuk kepada dakwaan bahawa nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng digunakan untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat.

Menurutnya, beliau telah merujuk PAS dan Pakatan Rakyat negeri itu dan telah diberitahu bahawa tidak wujud apa yang dikatakan meninggalkan doa kepada Agong dan Yang Dipertua Negeri dan menggantikan dengan nama Lim Guan Eng.

"Memang ada disebut nama Lim Guan Eng, tetapi dalam konteks yang lain," katanya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, nama ketua menteri itu disebut dalam khutbah apabila imam membicarakan tentang gejala sosial dalam masyarakat hari ini dan dikaitkan dengan isu judi.

Imam menjelaskan juga bahawa Pulau Pinang adalah negeri pertama mengharamkan syarikat judi Ascot Sport menjalankan urusan perjudian di negeri itu.

"Pulau Pinang antara negeri paling awal yang mengharamkan judi, maka waktu itulah dia (imam) menyebut nama Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri pertama mengharamkan judi," kata Mustafa lagi.

Imam bagaimanapun katanya, bukan mendoakan keselamatan Lim Guan Eng seperti yang didakwa, tetapi mendoakan agar Ketua Menteri itu diberi hidayah untuk menerima Islam.

"Khatib tahu bahawa salah doakan kebaikan kepada bukan Islam, tetapi tidak salah mendoakan hidayah kepada mereka agar menerima Islam," katanya lagi.

Semalam, khatib yang dimaksudkan, Zakaria Ahmad turut menafikan beliau mendoakan keselamatan Lim Guan Eng seperti didakwa banyak pihak.

"Laporan mengatakan saya mendoakan keselamatan Lim Guan Eng adalah fitnah kerana saya tidak melakukannya.

"Saya hanya doakan supaya dia (Guan Eng) diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam, itu sahaja," jelas Zakaria.

Beliau juga mendakwa isu tersebut juga telah diputarbelit dan dipolitikkan.

Sehubungan itu, beliau juga sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang memfitnahnya. Hrkh

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin