09 August 2010

Khalid cadang milikan saham Kg Baru



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berkata bahawa pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur akan dijamin tidak akan menyebabkan hak milik mereka tergadai.

Untuk itu, Khalid menggesa supaya penduduk Kampung Baru terus bersatu di dalam menyuarakan isu mengenai pembangunan semula kampung itu.

Khalid hari ini telah menasihatkan penduduk Kampung Baru agar memberi pertimbangan kepada cadangan alternatif ke atas pelan pembangunan yang dicadangkan oleh pihak kerajaan Selangor.

Ketika berucap menyampaikan pelan alternatif itu di Kelab Sultan Sulaiman hari ini, Khalid mencadangkan kewujudan satu tabung amanah atau dengan nama Kampung Baru Land Trust (KBLT) dengan menjadikan semua pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bakal memiliki sejumlah saham berdasarkan jumlah luas tanah yang dimiliki mereka.

Oleh itu, tambahnya lagi, pembangunan yang dilaksanakan itu mestilah dibuat secara bersepadu dan tidak dipecahkan mengikut tujuan atau kluster pembangunan. Beliau memberi contoh, jika pemilik atau pewaris memiliki tanah seluas 10,000 kaki persegi, dia akan memiliki 10,000 unit saham.

Dengan itu, satu jawatankuasa tabung amanah akan diberikan bertanggungjawab untuk mengawal selia saham-saham tersebut. Pemilikan saham itu menurutnya ialah hak milik kekal mereka dan akan menjana pendapatan kekal berterusan di atas hasil usahaguna tanah mereka yang dibangunkan.

Terdapat dua bentuk saham yang dicadangkan. Saham A merupakan tanah yang tidak boleh bertukar milik kepada bukan bumiputera sama ada dijual sesama pemilik, KBLT atau syarikat Bumiputera. Dan saham jenis B pula adalah sewa dinilai mengikut potensi pendapatan dari ruang penyewaan hasil pembangunan yang dirancang.

Antara yang hadir ialah 300 pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu termasuklah ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lolo’ Ghazali dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Roslan Baharuddin.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin telah mengumumkan penubuhan perbadanan untuk pembangunan Kampung Baru yang akan membeli tanah pada harga semasa daripada pemilik tanah.

Namun begitu, diberitahu sejumlah besar pemilik tanah Kampung Baru berbelah bahagi dengan kedua-dua cadangan itu.-KLToday.com

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese