19 July 2010

PAS desak KDN jamin saksi enjin jet selamat



PAS mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan keselamatan kepada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sarjan N Tharmendran yang juga saksi penting kes kehilangan dua enjin pesawat F5 milik TUDM Januari lalu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada sidang media hari ini, juga menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat secara terperinci kes berprofil tinggi tersebut.

"Oleh kerana kes ini berlaku semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pertahanan, maka saya berpandangan ianya tidak boleh diselesaikan dengan proses mahkamah biasa dan Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Hadir sama pada sidang media di Pejabat Agung PAS pagi tadi, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Tharmendran, 42, yang dituduh bersubahat mencuri enjin tersebut sebelum ini tampil mendedahkan beliau didera sepanjang ditahan bermula 2 Julai 2009.

Tharmendran memberitahu, seorang ketua pegawai penyiasat berpangkat mejar telah diarahkan untuk menyelesaikan kes itu dan dibenarkan menggunakan apa cara sekalipun bagi memaksa dia mengaku bersalah.

Beliau mendakwa didera oleh pegawai berkenaan dan tidak tidur selama tiga minggu di dalam bilik yang kecil dan secara berterusan dipaksa mengaku bersalah.

Dia dipakaikan topi keledar dan kepalanya dipukul menggunakan kayu kriket dan kayu golf sehingga topi keledar yang dipakai mengalami keretakan.

Sehubungan itu, Salahuddin menggesa kabinet segera menubuhkan suruhanjaya diraja dan KDN diminta memberi jaminan keselamatan kepada Tharmendran.

"Bagi saya mustahil kes ini hanya melibatkan seorang pegawai bawahan biasa, ianya perlu dibongkar dan disiasat," ujarnya lagi.

Rakyat Malaysia, katanya tidak mahu lagi melihat Tharmendran menjadi orang yang keseterusnya bertindak ke luar negara bagi mencari perlindungan dan menyelamatkan diri dari ancaman.

Isu kehilangan dua enjin jet tersebut, katanya lagi merupakan isu besar berkait rapat dengan keselamatan negara sehingga mampu menjejaskan imej negara dan melibatkan wibawa dan integriti pemimpin negara pada hari ini.

"Apatah lagi yang menjadi Perdana Menteri Malaysia pada hari ini adalah orang yang sama menjadi Menteri Pertahanan pada waktu itu," katanya.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun dua minggu lalu, Tharmendran dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan. - Hrkh

1 comment:

Anonymous said...

Kenapa tak soal sahaja Panglima Angkatan Tentera DAN Panglima Tentera Udara apa rahsia yang sebenar nya? Dan kenapa arahan di beri untuk menyiksa sarjan tersebut? Takkan mereka nak cuci tangan dan buat buat tak tahu.
Rakyat juga nak tahu bagaimana Bekas Panglima Tentera Udara yang di lantik menjadi Panglima Angkatan Tentera sedangkan dia gagal memperbaiki kepincangan yang berlaku malahan aset negara seperti injin bolih hilang semasa mangkuk ini menerajui TUDM.
Nak jaga TUDM pun tak bolih macam mana nak jaga Angkatan Tentera. Tak bertanggung jawab langsung, rasa nya elok juga mereka ini di pakaikan dengan helmet dan di ketok kepala mereka dengan kayu golf.
Zahid Hamidi... sila siasat Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Udara, Provos TUDM dan Panglima Logistik Udara kenapa kehilangan injin tersebut di perapKAN...dan seorang sarjan di seksa. MaLU LAH SIKIT ZAHID WOI....

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese