09 July 2010
Desak Polis Siasat Exco Pahang Dirompak Wang Tunai RM300,000
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini mempersoalkan aset tunai berjumlah RM300,000 yang dimiliki seorang Exco Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat yang dirompak beberapa hari lalu di rumahnya.
Azan merujuk kepada laporan akhbar The Star pada 6 Julai lalu mengenai tindakan pantas polis menembak mati empat penjenayah dalam kejadian pecah rumah Exco tersebut di Pantai Selamat, Kuantan.
"Dalam berita ini perompak telah melarikan RM300,000 wang tunai dari kediaman beliau dan perkara ini telah menimbulkan banyak persoalan bagaimana seorang Exco kerajaan negeri menyimpan begitu banyak tunai di dalam simpanan kediaman sendiri.
"Hari ini begitu banyak berita berkenaan simpanan tunai yang berkaitan kerajaan beberapa isu kita dengar di Pulau Pinang dan sebagainya yang melibatkan kakitangan kerajaan dan orang yang diberi amanah oleh kerajaan sebagai pentadbir termasuk Exco.
"Kita minta pihak berkuasa menyiasat laporan akhbar ini bagaimana seorang Exco boleh menyimpan begitu banyak tunai di dalam kediamannya yang menjadikan kes ini kes rompakan dengan kesudahan empat orang ditembak mati oleh pihak polis yang juga menimbulkan banyak isu yang mana lima tahun kebelakangan ini banyak kes-kes tembakan yang menyebabkan berlaku kematian kepada suspek atau juga orang-orang yang di anggap penjenayah," ujarnya dalam sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.
Katanya, Pakatan Rakyat mendesak satu laporan terperinci berkenaan kejadian itu termasuk tindakan polis melepaskan tembakan kepada suspek terbabit.
"Kita ada statistik yang agak membimbangkan," tambah beliau.
Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, polis tidak menjelaskan bagaimana penjenayah tersebut ditembak mati.
"Siapakah mereka, apakah perlu desakan dan satu keperluan, untuk membunuh ke empat orang. Saya percaya tidak ada orang yang melarikan diri, tidak ada survivor dalam kejadian ini, ke empat-empatnya semua ditembak mati dan kenapa perlunya membunuh semua," soal beliau.
Tian Chua berkata, selain itu timbul keraguan mengenai empat butir peluru yang telah dicuri dari rumah exco berkenaan.
"Kita rasa pelik, kenapa perlunya perompak curi peluru dan akhirnya dapat dikembalikan. Ini satu cerita yang sangat pelik sekali," ujarnya.
Beliau turut memetik statitik yang telah dijawab secara rasmi oleh Kementerian dalam negeri dewan berhubung kes tembak mati oleh pihak polis, iaitu sembilan kes pada 2005, 16 kes pada 2006, 13 kes pada 2007, 82 kes pada 2008 dan 88 kes pada 2009.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendesak polis supaya memberikan penjelasan berhubung isu tersebut memandangkan trend yang serupa berlaku dalam kejadian tembak oleh polis.
"Trend polis dari awal, bila tembak ada parang. Ini cara biasa, lepas tembak ada parang. Saya minta pihak polis beri gambaran jelas trend ini berlaku sudah lama.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan exco berkenaan yang memiliki wang tunai sehingga RM300,000.
"Mana wang ini datang, sepatutnya SPRM siasat wang ini. Bagaimana Exco ada RM300,000. Bukan siasat isu pasir sahaja," tegas beliau. SK
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment