28 June 2010

Tiada plot jatuhkan MB Khalid



Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya meredakan beberapa isu melibatkan ahli-ahli parlimen PKR yang didakwa bersekongkol untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sambil menafikan wujudnya plot itu, beliau berkata beliau tidak pernah mendengar seramai 15 ahli parlimen PKR mendesak supaya Khalid digugurkan dari jawatannya seperti mana yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

"Saya telah bertemu dengan mereka (ahli parlimen) banyak kali," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, "saya juga telah membaca beberapa laporan media tetapi serius, tidak ada perbincangan di antara mereka mendesak perkara seumpama itu (menyingkir menteri besar)."

Menurut beliau, beliau akan mendapat tahu sekiranya ada plot seperti itu. Tetapi katanya, perkara ini tidak pernah timbul.

"Saya tidak tahu tentang perkara ini. Bagi saya, apa-apa desakan untuk menyingkir menteri besar mesti melalui saya sebab saya ada pengaruh dalam parti.

"Tetapi ini tidak pernah menjadi isu. Isu yang timbul hanyalah bagaimana kerajaan negeri Selangor dapat melaksanakan program yang berkesan untuk rakyat." katanya.

PKR mendapat tumpuan kilauan media minggu lalu apabila naib presidennya dan orang kepercayaan Anwar, Azmin Ali meletakkan jawatan sebagai pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), yang diterajui oleh Khalid.

Khabar angin tersebar tentang Azmin memperlihatkan rasa tidak puas hati cara Khalid mengendalikan pentadbiran negeri. Ramai ahli juga mendakwa menteri besar tidak berunding dengan pemimpin-pemimpin parti mengenai dasar pembuat keputusan.

Selain itu, khabar angin juga bertiup mengenai kemunculan 15 ahli parlimen PKR bermuafakat dengan Azmin untuk merancang menjatuhkan Khalid. Tetapi Azmin telah menafikan hal ini.

Khalid minta perubahan

Anwar menyanggah dakwaan bahawa Khalid telah digantikan berikutan kritikan bahawa menteri besar gagal untuk menarik sokongan daripada ahli di peringkat akar umbi meskipun telah menerajui negeri lebih dari dua tahun.

Menurut beliau, Khalidlah yang meminta perubahan ini kerana beliau dibebani dengan kerja yang bertimbun bagi memenuhi kehendak rakyat.

Beliau berkata, beban ini sangat berat kerana beliau perlu memberi perhatian terhadap pembangunan negeri dan kepentingan parti di Selangor. Beliau bimbang beliau tidak dapat memenuhi aspirsasi rakyat.

"Maka dengan sebab itu beliau meminta agar jawatannya (Ketua Perhubungan Negeri) diberi kepada orang lain," kata Anwar.

Anwar, pada mulanya tidak bersetuju dengan permintaan Khalid, tetapi akhirnya bersetuju setelah Khalid berulang kali memberitahu beliau bahawa beliau tidak boleh menjalankan dua kerja serentak.

"Beliau perlu berkongsi beban dan perlu kepada seseorang yang lain untuk mengendalikan program politik. Saya fikir beliau lebih berminat untuk mengendali perjalanan pentadbiran negeri," kata Anwar.

Anwar juga menafikan dakwaan bahawa PKR meniru stail pentadbiran Umno.

"Pada kebiasaannya dilihat seperti Umno di mana menteri besar yang secara tradisi ialah ketua parti di peringkat negeri tetapi sekarang ini tidak semestinya demikian," katanya. - freemalaysiatoday

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese