11 June 2010
PAS Yakin Perubahan Akan Berlaku, Bila Tiba Masanya
Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, perjuangan PAS adalah perjuangan Islam yang bertemakan ‘Adil Untuk Semua’, bukan sahaja untuk orang Islam, bahkan untuk seluruh manusia.
Beliau berkata demikian ketika meraikan para petugas media yang membuat liputan sepanjang Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 56 dalam satu Majlis Makan Malam disini semalam.
Menurutnya, walaupun ada media membuat liputan yang tidak menyenangkan, namun PAS tidak bermusuh dengan pihak media.
“Walaupun ada media-media yang membuat liputan yang tidak menyenangkan, kita tidak bermusuh dengan rakan-rakan media yang mengambil maklumat dan menghantar kepada akhbar masing-masing,
“mereka bertugas seperti biasa sepanjang Muktamar tanpa penat dan lelah, masalah membuat berita itu kerja orang lain, sebab itu kita raikan rakan-rakan media yang menyerikan Muktamar kita pada tahun ini,”jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran para tetamu antarabangsa dan mendoakan semoga kehadiran mereka ke Muktamar PAS diberikan ganjaran oleh Allah SWT.
Antara para tetamu yang turut diraikan dalam Makan Malam tersebut adalah pemimpin dari HizbuLlah Lubnan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Hal Ehwal Agama dari Maldives, pimpinan Hamas dari Palestin serta pimpinan Gerakan Perjuangan Pembebasan Islam Moro (Moro Islamic Liberation Front - MILF) dari Filipina.
Dato’ Seri Abdul Hadi juga memberitahu para hadirin, PAS terus setia dengan perjuangan dan terus berhadapan dengan rakyat Malaysia dengan menyertai pilihanraya sejak tahun 1955.
“PAS Setia dengan perjuangan dan terus berada diatas landasan menyertai pilihanraya, sejak tahun 1955, sebelum merdeka sehingga hari ini,
“Kita (PAS) mengalami pasang surut, pernah dikalahkan pernah ditumbangkan pernah menyertai kerajaan pusat, ditendang keluar, terus berpilihanraya tanpa mengira penat dan lelah,”ujarnya.
Tegasnya, walaupun tidak berpuas hati dalam banyak perkara, PAS terus bersabar dalam sistem demokrasi kerana yakin, perubahan akan berlaku bila tiba masanya.
Katanya, apa yang penting adalah, PAS memilih saluran pilihanraya untuk berdepan dengan rakyat.
“Tetapi pilihanraya adalah saluran yang kita pilih untuk berdepan dengan rakyat, itu yang penting, kita yakin dan percaya prubahan akan berlaku bila tiba masnya,
“kerana Allah taala mengajar kita tidak ada kuasa yang kekal melainkan kuasa Allah sahaja,”tambahnya. BO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment