03 June 2010
Liwat: Anwar dakwa keterangan doktor bercanggah
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa sekali lagi berlaku percanggahan besar dalam keterangan saksi berhubung perbicaraan liwat yang membabitkan dirinya yang berlangsung hari ini.
Percanggahan yang dimaksudkan adalah berkaitan laporan perubatan pakar bedah Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Razali Ibrahim dengan keterangannya hari ini.
Razali, saksi kedua yang dipanggil hari ini memberi keterangan bahawa setelah merujuk laporannya sendiri dan juga laporan dari makmal jabatan kimia, beliau merumuskan bahawa ada kesan tembusan dengan zakar di dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Menurut Anwar, dalam laporan perubatan sebelum ini, Razali menyatakan bahawa tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa tembusan melalui zakar berlaku kerana tiada kesan koyak, kecederaan atau luka mempertahankan diri.
"Kita akan meneliti keterangan doktor yang pada mulanya mengesahkan laporan tidak ada tembusan, sekarang bawa kajian makmal (merumuskan ada penembusan).
"Percanggahan besar berlaku," katanya kepada media di luar mahkamah hari ini.
Pihak pembelaan hari ini membawa pakar forensik, Dr David Wells dari Australia bagi meneliti laporan perubatan dan pengakuan tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Saiful setelah mendakwa dia diliwat.
Wells adalah profesor madya di Jabatan Kriminologi di Universiti Melbourne dan juga ketua perubatan forensik di Victorian Institute of Forensic Medicine, Australia
"Di sebut juga mani, tidak disebut mani siapa, berapa DNA yang didapati.
"Pertama kali selepas dua tahun, baru dapat keterangan ada sampel itu disimpan. Sebelum ini laporan bertulis daripada polis, tiada sampel," katanya.
Anwar juga memberitahu pihaknya memerlukan sedikit masa untuk pakar forensik Australia tersebut membuat penelitian terhadap laporan setakat yang diperolehi sehingga hari ini.
Mahkamah menangguhkan perbicaraan ke jam 9 pagi esok selepas membenarkan permohonan Karpal yang ingin merujuk kepada pakar forensik dari Australia itu sebelum mula menyoal balas Dr Razali. Hrkh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment