14 June 2010

Lesen Judi: Kejayaan Syarikat Ascot Sports Sdn Bhd



Dewan Pemuda Pas mendakwa syarikat Ascot Sports Sdn Bhd yang diberi kelulusan oleh kerajaan 1Malaysia untuk menguruskan konsesi judi sukan akan mula beroperasi Ogos ini dengan menawarkan pertaruhan untuk empat liga bolasepak Eropah.

Ketua Dewan Pemuda Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata beliau mendapat maklumat dalaman bahawa Liga Premier Inggeris, La Liga Sepanyol, Serie Itali dan Bundesliga Jerman akan menjadi sasaran konsesi judi milik hartawan Tan Sri Vincent Tan itu.

Nasrudin juga mendakwa pertaruhan untuk Piala Dunia 2010 tidak berlaku kerana Ascot Sports belum membuat persediaan secukupnya untuk acara antarabangsa itu.

Beliau membuat dakwaan itu dalam ucapan pergulungannya di muktamar tahunan Pas ke-56 hari ini.

"Kita mendapat maklumat dalaman bahawa Ascot Sports akan menawarkan khidmat pertaruhan untuk empat liga utama iaitu Liga Inggeris, Liga Itali, Liga Sepanyol dan Liga Jerman," kata Nasrudin.

Ascot Sports mendapat lampu hijau dari Menteri Kewangan Najib Abdul Razak untuk menjalankan pertaruhan judi sukan, namun lesen itu belum diberikan sehingga pihak Kementerian selesai meneliti terma dan syarat berkaitan.

Muktamar Tahunan Pas ke-56 menyaksikan usul Dewan Pemuda mendesak kerajaan Malaysia membasmi pertaruhan sukan serta mengetatkan undang-undang terhadap judi disokong sebulat suara tanpa bantahan.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah mengisytiharkan pengharaman keatas pertaruhan judi sukan di negeri masing-masing. Mana-mana premis yang didapati menawarkan judi sukan menghadapi tindakan keras dari Majlis Perbandaran Tempatan.

"Perlawanan bolasepak di empat liga ini akan bermula selepas Ogos. Kerana itu, pada 3 Julai, kita perlu menghantar mesej dan pendirian yang jelas atas isu judi sukan ini kepada dunia," kata Nasrudin.

Sementara itu, Naib Presiden Pas Mahfuz Omar menggesa anggota Pas digemblengkan sepenuhnya untuk perhimpunan raksasa membantah pertaruhan judi sukan 3 Julai nanti.

Mahfuz dalam ucapannya berkata Pas dan rakyat Malaysia yang prihatin harus menyatakan pendirian yang tegas menolak pembudayaan judi sukan ini dengan memakai jersi bola mewakili negeri masing-masing.

"Ini simbolik prinsip kita bahawa kita iyakan usaha memperkasa sukan, tetapi kita menolak judi sukan," tegas Mahfuz. TVS

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese