30 June 2010

Ciri kepimpinan terbaik ada pada Zaid



Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, Datuk Zaid Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan berdasarkan ciri kepimpinan terbaik bertujuan untuk memperkukuhkan parti.

Ketua Umum Keadilan itu berkata, setiap pemimpin PKR yang mempunyai kebolehan dalam pentadbiran parti akan diberikan jawatan untuk melaksanakan tugas demi membantu parti menjana agenda yang telah dirancang.

"Zaid bukan anak emas saya atau pun PKR, beliau mempunyai ciri kepimpinan yang boleh mendatangkan kebaikan kepada parti. Itulah sebabnya beliau dilantik.

"Tiada pemilihan tertentu seperti Barisan Nasional (BN) yang memilih kroni untuk menjawat jawatan tertinggi dalam parti sekaligus merosakkan masa depan parti itu sendiri," katanya yang menjawab persoalan dari wartawan Agenda Daily mengenai pelantikan Zaid di Pejabat Pembangkang di Parlimen hari ini.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, jawatan yang diberikan kepada pemimpin yang terpilih adalah hasil dari mesyuarat bersama ahli majlis pimpinan pusat untuk merangka perubahan baru pada parti dan tiada pelantikan individu dilakukan oleh beliau sendiri.

Beliau berkata, media arus perdana tidak perlu mengaitkan mana-mana individu untuk menjadi anak emas kepada PKR dan tindakan tersebut langsung tidak memberi kesan.

Provokasi dari media

"PKR bukan seperti BN yang akan melatah apabila wujudnya provokasi dari media hingga terjadi perbalahan sesama parti. Kita tidak akan memandang serius isu ini dan ia tidak mampu menyekat kemaraan Zaid yang telah bekerja keras untuk memajukan parti," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut bersama Anwar berkata, Zaid menjadi ikon pilihan kepada BN untuk diserang dan BN menggunakan media bagi memanaskan keadaan.

"Media tidak perlu mengikut telunjuk BN yang menyoal perkara tidak wujud bagi mencetuskan perbalahan untuk menjatuhkan parti lain.

"Mengapa media tidak menyoal BN kerana tidak memberi jawatan menteri kepada Ketua Pemuda Umno daripada menyoal tentang pemberian jawatan kepada zaid," jelasnya dalam nada berseloroh.

Hadi juga berkata, tiada keuntungan kepada media yang mempertikaikan pelantikan Zaid dan ianya hanya akan memberi keuntungan kepada BN dan Umno yang memperalatkan media.

Anwar yang mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini, mengumumkan Konvensyen Pakatan Rakyat Sarawak akan berlangsung pada bulan Julai ini manakala Kongres Pakatan Rakyat Malaysia akan berlangsung pada Oktober nanti. - freemalaysiatoday

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese