03 May 2010

Serah dua telaga minyak suatu penderhakaan



Peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayah Malaysia diserahkan pada pihak luar, maka perbuatan Kabinet menyerahkan dua blok pengeluaran minyak luar pantai Malaysia-Borneo kepada Brunei Darussalam dianggap perbuatan derhaka kepada kedaulatan negara.

“Kalau Perkara 2, Perlembagaan (Persekutuan) Malaysia sendiri pun tidak membenarkan mana-mana wilayah dalam kedaulatan kita (Malaysia) diserahkan kepada negara luar walaupun melalui Parlimen, inikan pula Blok M dan (Blok) L sewenang-wenangnya diserahkan pada Brunei hanya melalui kelulusan kabinet sahaja.

“Ini bagi saya suatu penderhakaan kepada negara kerana Perlembagaan memperlihatkan bahawa tidak pernah ada tolak ansur dalam melepaskan kedaulatan negara,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar di sidang media di lobi Dewan Negara hari ini.

Menurut beliau, Perkara 2 Perlembahaan Persekutuan hanya membenarkan Parlimen membuat ketetapan untuk menerima masuk mana-mana negeri dalam Persekutuan.

Perkara 2 juga, menurut Mahfuz, membenarkan Parlimen membuat persempadanan semula negeri-negeri di bawah Persekutuan, dengan syarat mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta Majlis Raja-raja.

Mengambil kes persempadanan semula Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkata, kerajaan Pusat akhirnya akur dengan mendapatkan persetujuan Dun Selangor dan Sultan Selangor, walaupun pada awalnya kerajaan Pusat terus masyhurkan suatu kawasan dalam negeri Selangor sebagai ‘Persekutuan’.

Disebabkan itu, dengan merujuk pada pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjelaskan bahawa penyerahan dua telaga minyak tersebut diluluskan oleh kabinet, beliau menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kaedah yang digunakan oleh Kuala Lumpur ketika memeterai perjanjian persefahaman dengan Bandar Seri Begawan.

Tambahnya lagi, walaupun perjanjian dibuat pada 11 Februari 2009, iaitu era Abdullah menjadi Perdana Menteri, namun perjanjian persefahaman ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009, iaitu ketika Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Najib selaku ketua kerajaan tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri serta menganggap bahawa isu terbabit adalah isu terpencil yang melibatkan Abdullah semata-mata.

Dari segi yang lain, Mahfuz turut mempersoal tindakan kerajaan membatalkan perjanjian persefahaman dengan Murphy Oil, iaitu syarikat perdagangan minyak antarabangsa demi memastikan hasrat menyerahkan kedua-dua telaga minyak tersebut kepada Brunei.

Menurut beliau, dengan pembatalan sedemikian, sekaligus mencalar reputasi Petronas, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam industri petroleum di peringkat dunia.

“(Dengan) pembatalan ini, bukan sahaja integriti kerajaan dilihat musnah, malah Petronas selaku GLC yang bergiat di peringkat antarabangsa pun turut dipersoal apabila mereka berurusan dengan negara-negara pengeluar minyak.

“Dunia akan tanya Patronas, sekiranya perjanjian dengan Murphy Oil pun kerajaan boleh batalkan, apakah jaminan Petronas sekiranya ia (Petronas) dilantik untuk membangunkan industri minyak di negara-negara yang dia berurusan,” beliau menambah.

Mahfuz turut bercadang untuk mengetengahkan perkara itu kepada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat sebelum membuat usul supaya suatu sidang Dewan Rakyat tergempar diadakan demi membincangkan isu penderhakaan tersebut.

Turut serta dalam sidang media ialah Senator Mohd Yusof Husin dan Senator Mumtaz Mohd Nawi. - HarakahDaily

5 comments:

Captain said...

salam nik,

Mungkin ada hikmahnya telaga minyak tu terlepas kat Brunei..

Satu hari PAS memerintah Malaysia, mungkin Brunei akan tolong balik kita.

Kalau tidak habis disapu oleh merekax ni.

Rakyat mcm tu jugak..

pungit said...

Mungkin Malaysia pun dapat keuntungan dari pemberian kawasan tersebut kepada Brunei...

Apa2 pun perlu ada penjelasan juga dr kerajaan Brunei sendiri...

2718 said...

malaysia masih ada kepentingan melalui joint venture dengan brunei selama 40 tahun.

tapi isu penyerahan ini menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak. harap kerajaan dapat menjelaskan secara detail rasionalnya disebalik penyerahan ini.

man said...

jika telaga minyak itu diserahkan kepada brunei, ia akan menimbulkan perasaaan tidak puas hati rakyat. oleh iru, kerajaan haruslah mengabil paranan penting bagi megnatasi haol ini, penjelasan perlu diberikan kepada rakyat. bagaimanapun diharap isu ini tidak mengugat hubugan antara pihak Malaysia dan Brunei. biarlah perkar ini diselesaikan dengan baik.

mandara said...

malaysia akan rugi jika menyerahkan telaga minyak tersebut kepada brunei.
ini kerana telaga minyak tersebut boleh menjana kepada ekonomi negara. bagaimanapun diharap rakyat malaysia dapat bersabar dan menerima perkara ini. kerana mungkinada hikmahnya jika perkar ini berlaku. hubugfan antara kedua negara haruslah terus harmoni.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin