04 May 2010

PAS: Sasaran kami bukan guling pemimpin BN, Kickdefella ‘orang upahan politik’



PAS tidak pernah bertindak untuk menjatuhkan mana-mana personaliti Barisan Nasional (BN), sebaliknya matlamat pihaknya hanya menyasarkan untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah.

Sambil mendakwa PAS pusat dan Kelantan tidak tahu-menahu tentang pendedahan blogger Kickdefella, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan penulis berkenaan bertindak sebagai “askar upahan politik” pihak tertentu untuk memburuk-burukkan pihaknya.

“Saya hendak menjelaskan memang menjadi matlamat perjuangan parti-parti politik sama ada Umno, PAS atau BN atau PR, memang hendak menjatuhkan kerajaan.

“PAS hendak jatuhkan kerajaan BN, Umno hendak jatuhkan kerajaan PAS, Pakatan.

“Tetapi memburuk-burukkan seseorang individu bukan matlamat perjuangan PAS,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu kata Mustafa, siasatan beliau menunjukkan PAS pusat dan Kelantan sama sekali tidak terlibat dalam usaha memburuk-burukkan mana-mana pemimpin.

Minggu lalu, Kickdefella yang sebelum ini menjadi tumpuan kontroverasi Menteri Besar Kelantan dan menantunya, mendakwa telah dibiayai RM4 juta untuk memburuk-burukkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri.

Usaha memburuk-burukkan Abdullah yang menjadi perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009 dikenali sebagai Operasi Gerak Saraf, kata Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam tulisan blognya.

Beliau menambah usaha berkenaan dijalankan bagi membolehkan PAS mudah mengatasi Barisan Nasional untuk kekal berkuasa.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990.

Kata Syed Azidi, beliau telah membelanjakan sejumlah wang itu sepanjang tiga tahun berkhidmat di Kelantan.

Kata Mustafa, PAS tidak pernah menyasarkan untuk menjatuhkan Abdullah ketika menjadi perdana menteri dari Oktober 2003 hingga April 2009.

“Pak Lah (Abdullah) jatuh, Najib naik. Kami bukan berhadapan dengan orang perseorangan tetapi parti (kerajaan).

“(Malah) Pak Lah dijatuhkan oleh orang Umno sendiri,” kata Mustafa sambil menambah, “apa yang didedahkan itu (oleh Syed Azidi) tidak kena-mengena dengan PAS.”

“Jadi apa yang didedahkan itu (oleh Syed Azidi) tidak kena-mengena dengan agenda perjuangan PAS,” katanya.

Oleh kerana menjatuhkan pemimpin bukan agenda PAS, soal Mustafa, mengapa Syed Azidi beriya-iya mahu mendakwa partinya menyediakan RM4 juta untuk memburuk-burukkan Abdullah ketika mengetuai kerajaan pusat.

Mengulas lanjut mengenai pembiayaan RM4 juta itu, Mustafa berkata, biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pendedahan itu.

SPRM telah mengambil keterangan daripada Syed Azidi dua kali termasuk semalam.

Kata Mustafa, pendedahan itu dibuat seolah-olah hendak menunjukkan bahawa PAS sedang berhadapan dengan masalah.

“Saya sudah periksa dengan PAS Kelantan dan PAS pusat, PAS pusat saya memang tahu, PAS tidak pernah mengeluarkan RM4 juta... itu saya menafikan,” kata beliau sambil mendakwa Syed Azidi mengeluarkan kenyataan memburukkan PAS sejak selepas dipecat dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan. TMI

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin