03 May 2010

Keluarga Aminulrasyid mahukan suruhanjaya diraja



Keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah (gambar), remaja yang ditembak mati polis minggu lalu mahu kerajaan mengadakan suruhanjaya diraja bagi menyiasat insiden itu, bukannya inkues sebagaimana disarankan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Menurut bapa saudara mangsa, Kamarudin Hassan, keluarga itu mahukan siasatan tersebut dijalankan oleh sebuah badan bebas bagi menegakkan keadilan bagi mereka.

“Kami mahukan siasatan ini dijalankan oleh pihak bebas dan kami mahu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes ini.

“Ini kerana kami mahukan kes ini dapat disiasat dengan adil dan telus kerana kematian Allahyarham harus dibela dan namanya serta keluarga perlu dibersihkan,” kata beliau pada sidang media di rumah Allahyarham di Seksyen 11 di sini.

Beliau berkata, keluarga Allahyarham Aminulrasyid amat berharap permohonan ini dapat dilaksanakan supaya kematiannya akan mendapat pembelaan.

“Kami amat berharap supaya permohonan ini dapat dilaksanakan supaya Allahyarham mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Selain itu, kami tidak mahu kes ini disiasat terlalu lama, jadi lebih baik ditubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat perkara ini,” katanya.

Kamarudin berkata, keluarga Allahyarham hanya mahu mendapatkan keadilan bagi pihak mangsa.

“Kami tahu bukan semua polis tidak baik, cuma segelintir sahaja.

“Cuma kalau sudah salah, mengaku sahaja dan minta maaf kepada keluarga Allahyarham,” katanya yang turut ditemani oleh ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad dan ahli keluarga lain.

Sementara itu, peguam N. Surendran berkata, kenyataan-kenyataan sebelum yang mengatakan Allahyarham Aminulrasyid sebagai penjenayah perlu ditarik balik.

“Polis mengeluarkan kenyataan seolah-olah Allahyarham seorang penjenayah, siasatan belum habis tapi kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah siasatan sudah selesai.

“Kenyatan yang mengatakan Allahyarham sebagai penjenayah adalah satu tuduhan yang serius.

“Jadi kita harap supaya siasatan dalam dijalankan dengan adil dan telus bagi mendapatkan keadilan bagi pihak keluarga dan juga Allahyarham,” katanya. TMI

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin