KUALA TERENGGANU – Negara kita, Malaysia tidak akan meraih pencapaian lebih baik daripada apa yang dinikmati ketika ini, selagi Barisan Nasional (BN) terus menerajui pemerintahan negara.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, BN sudah hilang stamina mengukuhkan menggerakkan kerajaan sedia ada untuk bersaing dengan negara lain supaya lebih maju.
Oleh itu, keadaan itu memerlukan kebangkitan rakyat dengan menyokong Pakatan Rakyat dan BN perlu direhatkan atau digantikan, bagi memastikan perubahan menyeluruh.
“Negara memerlukan kepimpinan dan parti baru bagi membuat perubahan kerana pembangkang mempunyai kepakaran berbeza berbanding parti sedia ada,” katanya
Pada masa sama, Nik Muhammad Zawawi berkata, pihaknya akan terus berjuang bagi memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi badan yang benar-benar bebas, selain memastikan pilihan raya akan datang dijalankan dengan lebih telus.
Menurutnya, PAS akan memberi penjelasan dari masa ke masa kepada rakyat mengenai ketidaktelusan di pihak BN setiap kali pilihan raya yang banyak menggunakan kekuatan dan kekuasaan kerajaan.
“Proses ini mengambil masa, sebab itulah jika kita lihat generasi baru yang faham perkara ini menolak BN, begitu juga kaum Cina dan India yang memahami turut melakukan perkara sama,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
Mengulas pilihan raya kecil di Parlimen Hulu Selangor, Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat berkata, undi rakyat menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya.
Menurutnya, walaupun tewas, pembangkang menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding kekalahan di semua kerusi pada pilihan raya umum lalu, selain jumlah undi bertambah dan sokongan pengundi bukan Melayu meningkat.
“Jika mereka kata ia adalah kebangkitan sokongan kepada BN, ia hanya ucapan politik. Mereka perlu semak betul-betul barulah mereka tahu perkara sebenar,” katanya.
No comments:
Post a Comment