22 April 2010
Zaid, Fuziah lawan SPR!
GARA-GARA lebih 50 pengundi dari Kampung Tanjong mengadu bahawa nama mereka tidak terdapat dalam Buku Daftar Pemilih mengakibatkan inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengubah nama pengundi Hulu Selangor ke Parlimen Selayang terus dibongkarkan.
Datuk Zaid Ibrahim, calon Pakatan Rakyat berkata, SPR seharusnya bersikap lebih adil dalam menguruskan pilihan raya kecil kali ini.
“Sebagai calon, saya harap SPR boleh bersikap lebih adil, sebab itu (Pakatan Rakyat) menyertai pilihan raya (kecil ini),” ujar Zaid petang tadi di Pusat Informasi Media, Kuala Kubu Baru petang tadi.
Beliau yang juga Koordinator Pakatan Rakyat berkata, SPR sewajarnya bertindak pantas memindahkan semula para pengundi terbabit ke senarai asal dalam Buku Daftar Pemilih sebelum Hari Pembuangan Undi, Ahad ini.
Gesaan Zaid itu, termasuk membuka banyak kaunter SPR di sekitar Parlimen Hulu Selangor supaya para pengundi boleh membetulkan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh SPR sendiri.
“Saya harap SPR bertindak, bukalah kaunter agar (penama) para pengundi (terbabit) dipindahkan semula ke tempat asal (Kampung Tanjong).”
“(Disebabkan itu) saya berharap suatu tindakan yang luar biasa (dilakukan oleh SPR),” ujarnya.
Sekiranya SPR gagal berbuat demikian sekali pun, bagi beliau, para penyokong Pakatan Rakyat dan pengundi sendiri tidak seharusnya berputus asas.
Sebaliknya, mereka diminta terus bekerja kuat amalan tidak demokratik sepanjang pilihan raya kali ini boleh diminimakan.
“Saya harap, kita (Pakatan Rakyat dan pengundi) tidak berputus asas pada jalan yang salah (angkara SPR),” beliau menambah.
Selain memberi isyarat yang jelas kepada SPR, beliau turut merayu kepada para pengundi terbabit supaya membantu SPR.
Bercakap pada sidang media yang sama, Fauziah Salleh, Pengarah Strategik Pilihan Raya PKR tidak menolak kemungkinan bahawa motif di sebalik pemindahan para pengundi terbabit adalah inisiatif strategik sempena pilihan raya kali ini.
Ini kerana, berdasarkan pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, menurut beliau, undi dari kampung tersebut majoritinya menyebelahi bekas calon Pakatan Rakyat, al-Marhum Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad (PKR).
Selain menyalahkan SPR, beliau turut mempertikai Dewan Rakyat kerana menolak dua kali berturut-turut usul beliau berhubung isu kelemahan SPR.
“Dua kali Parlimen menolak usul saya (manakala) SPR pula terus dalam (sindrom) penafian selepas saya mengeluarkan bukti,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Walaupun SPR dianggap cuba bersikap tidak demokratik dalam menguruskan pilihan raya kali ini, beliau berkata, jentera PKR akan membuka kaunter-kaunter untuk mengenal pasti para pengundi berbaki yang di pindahkan ke Kampung Tanjong.
Demi memudahkan mereka yang terbabit membuat sebarang aduan berkaitan SPR dan pilihan raya kecil P.094, jentera beliau turut membuka talian perkhidmatan bebas, 0193260874.
Pun begitu, dalam nada menyindir, beliau berkata inisiatif Pakatan Rakyat bukanlah disebabkan bersetuju dengan sikap tidak progresif SPR sendiri.
“Kita (seolah-olah) melakukan kerja-kerja SPR,” ujarnya.
Tuntas dari kes pemindahan pengundi tersebut, beliau mewakili Pakatan Rakyat mendesak para pemimpin tertinggi SPR supaya meletak jawatan sesegera mungkin, sekiranya masing-masing masih mempunyai maruah diri. -END
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment