25 April 2010

Detik jam 11.15 pagi, 38.5 peratus keluar mengundi



Sejumlah 38.5 peratus daripada 63,701 pengundi biasa telah pun keluar mengundi pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor setakat pukul 11 pagi ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati tiada masalah besar yang timbul sehingga kini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata proses pengundian berjalan lancar di kesemua pusat mengundi dan dijangka menjadi lebih rancak di antara 11 pagi dan 2 petang.

"Ada saluran mengundi yang sudah melebihi 50 peratus... ini bagus. Biasanya dalam mana-mana pilihan raya kecil, jumlah mengundi dalam tiga jam pertama sekitar 40 peratus," katanya.

Beliau juga berkata dakwaan kononnya akan terdapat masalah tempat pengundian berikutan pemindahan lebih 14,000 pengundi di sini tidak berasas kerana setakat ini tiada pengundi yang tersalah pergi ke pusat pengundian.

"Tidak ada masalah sebab kita tutup sekolah lama. Pengundi hanya perlu semak nama mereka dan pergi ke tempat baru yang ditetapkan," katanya.

Wan Ahmad berkata meskipun proses pengundian berjalan lancar, masih ada parti politik yang tidak mengikuti arahan SPR agar tidak berkempen atau mendirikan "pondok panas" semasa pilihan raya kecil ini.

Katanya pelbagai cara digunakan untuk berkempen, misalnya dengan memasang bendera pada kenderaan dan berkonvoi di seluruh kawasan pilihan raya.

"Bila satu pihak buat pondok panas, satu lagi pihak buat aduan pada SPR. Bila kita hantar pasukan penguatkuasa dan polis roboh pondok itu, ada yang cuba tahan penjawat awam daripada menjalankan tugas," katanya.

Wan Ahmad berkata walaupun SPR dan pasukan penguatkuasa tertekan dengan keadaan yang tegang di sesetengah tempat, namun mereka berjaya menggunakan kebijaksanaan untuk menenangkan keadaan.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese