09 February 2010

Perbicaraan Kes Anwar Ditangguh Esok



Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki hari kelima dengan mahkamah bersedia untuk mendengar permohonan Ketua Pembangkang itu supaya Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes itu kerana dianggap berat sebelah.

Bagaimanapun, prosiding itu ditangguhkan sehingga esok berikutan permohonan peguam utama pembelaan, Karpal Singh untuk diberikan lebih masa bagi menjawab afidavit jawapan yang difailkan pihak pendakwaan.

Karpal Singh membuat permohonan supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri berdasarkan keputusan hakim berkenaan berhubung dua artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai mempunyai elemen berat sebelah.

Anwar, 63, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan. Perbicaraan kes liwat, yang menarik perhatian ramai termasuk wakil media luar negara, bermula Rabu lepas, selepas 18 bulan Anwar pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 7 Ogos, 2008.

Semalam, Mohd Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar yang merupakan saksi pertama memberi keterangan, sepatutnya disoal balas oleh pihak pembelaan tetapi perbicaraan terpaksa ditangguhkan ke hari ini bagi mendengar permohonan supaya Hakim Mohamad Zabidin dilucutkan daripada mendengar perbicaraan kes itu.

Perbicaraan kes liwat itu bermula Rabu lalu, selepas 18 bulan Anwar dihadapkan ke mahkamah buat kali pertama pada 7 Ogos 2008 dan menarik perhatian ramai termasuk wakil media dan pemerhati dari luar negara.

Saksi pertama pendakwaan iaitu Mohd Saiful, 25, yang juga pengadu dalam kes itu, telah selesai memberi keterangan pada peringkat pemeriksaan utama.

Dalam permohonannya hari ini, Karpal Singh berhujah bahawa pihaknya perlu menjawab afidavit pendakwaan yang diketuai Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden kerana ia menyentuh isu ketepatan kandungan afidavit Anwar yang difailkan bagi menyokong permohonan supaya Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.

Beliau turut meminta mahkamah membekalkan nota prosiding yang berkaitan selewat-lewatnya petang ini kepada kedua-dua pihak.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata beliau agak "khuatir" dengan laporan akhbar berhubung kandungan afidavit jawapan yang difailkan pendakwaan semalam.

Beliau berhujah berdasarkan Akta Profesyen Guaman 1976, kandungan sesuatu afidavit tidak boleh disiarkan sehingga ia dikemukakan dan dibaca di dalam mahkamah terbuka.

Mohd Yusof berhujah apa akan berlaku sekiranya sesuatu afidavit yang telah disiarkan isi kandungan, mengandungi kenyataan yang bersifat "melampau" dan mahkamah kemudian membuat keputusan membatalkannya.

Sehubungan itu, Mohd Yusof meminta mahkamah menasihati media dalam membuat laporan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, Karpal Singh berkata terdapat satu keputusan berhubung penyiaran isi kandungan afidavit yang dibuat bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Eusoff Chin yang menyatakan bahawa sebaik sahaja difailkan, afidavit menjadi satu dokumen awam yang isi kandungannya boleh dilaporkan oleh media.

Mohamad Zabidin kemudian mengingatkan pihak media supaya membuat laporan tepat berhubung prosiding kes itu dan tindakan akan diambil sekiranya ada pihak membuat laporan tidak tepat.

"Saya tidak mahu dilihat sebagai menceroboh ke dalam hal kebebasan akhbar. Tetapi media mestilah ingat bahawa kebebasan akhbar bukan bermakna boleh membuat laporan tidak tepat.

"Maka, jika media melaporkan sesuatu secara tidak tepat, anda perlu menerima akibatnya.

Jika pihak-pihak berkaitan mengambil tindakan dan mahkamah memutuskan untuk mengenakan hukuman, pada masa itu jangan persalahkan mahkamah dan menyatakan saya cuba untuk menyekat kebebasan akhbar," katanya. - BERNAMA

1 comment:

raj raman said...

Bicara dalam Mahkamah?
Berat ber belah belah -
satu untuk UMNO
Dua untuk crony UMNO
Tiga untuk kuncu2 UMNO.

rajraman666.Keputusan mahkamah 80% perpihak kepada orang2 diatas.Bakinya
20% saja nak tunjuk saja yang mahkamah adil.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese