14 February 2010

Khalid Samad Tidak Akan Rayu



Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad mengubah pendirian dengan menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh jawatankuasa disiplin akhir bulan lalu.

Sebaliknya Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menyerahkan kepada jawatankuasa kerja pusat PAS untuk menentukan nasib beliau.

Kata Khalid, jika jawatankuasa kerja pusat merasakan keputusan jawatankuasa disiplin yang dipengerusi Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak adil, pihak berkenaan yang harus mengkaji semula hukuman itu.

“(Saya) tak akan merayu. Jawatankuasa kerja pusat tahu fakta.

“Kalau mereka rasa tak adil, boleh betulkan tanpa saya membuat rayuan. Kalau rasa adil, apa gunanya merayu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Selain kepada jawatankuasa kerja pusat, Khalid juga boleh merayu kepada Majlis Syura PAS.

Jawatankuasa kerja pusat PAS yang sepatutnya bertemu esok telah menangguhkan mesyuarat mereka disebabkan cuti sambutan Tahun Baru Cina.

Akhir bulan lalu Khalid yang juga anggota Lajnah Politik PAS berkata akan membuta rayuan berhubung penghakiman jawatankuasa disiplin.

Sejak jawatankuasa disiplin mengumumkan keputusannya pada 29 Jan lalu pelbagai reaksi dikemukakan oleh ahli dan pemimpin PAS, antaranya menyifatkan keputusan jawatankuasa disiplin sebagai tidak adil.

Beberapa pemimpin PAS termasuk daripada kalangan sayap pemudanya telah melahirkan rasa puas hati dengan dengan ada yang melabelkan sebagai “wayang” semata-mata.

Semalam, penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin menggesa jawatankuasa kerja pusat parti itu agar mengkaji semula keputusan jawatankuasa disiplin membabitkan dua pemimpin Selangor yang kini mencetuskan reaksi tidak senang di kalangan sesetengah pihak.

Hanipa memnberitahu The Malaysian Insider beliau akan meminta jawatankuasa kerja pusat agar mengkaji semula penghakiman yang diumumkan agar ahli parti akan melihat keputusan ini sebagai adil dan seimbang.

“Sama ada kedua-dua mereka mengemukakan rayuan ataupun tidak, jawatankuasa pusat mesti mengkaji semula keputusan yang dibuat jawatankuasa disiplin,” kata beliau.

Dalam keputusan diumumkan 29 Jan lalu jawatankuasa disiplin menjatuhkan hukuman menggantung kesemua jawatan dalam parti disandang Khalid selama enam bulan.

Pesuruhnjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pula diberikan amaran.

Mereka didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS.

Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik Hasan.

Hasan pula didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Liow Siew Moi.

Hanipa memberitahu berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang peguam keputusan yang diumumkan bulan lalu tidak kelihatan sebagai sesuatu yang “logik dan rasional serta munasabah”.

Beliau juga mahu menulis surat kepada lembaga disiplin bagi mendapatkan penjelasan tentang alasan yang digunakan untuk mencapai keputusan mereka.

Hanipa berkata beliau akan menentukan tindakan susulan berdasarkan penjelasan yang akan diberikan oleh jawatankuasa disiplin kelak. themalaysianinsider

1 comment:

Unknown said...

Buat apa nak rayu kepada jawatankuasa bongok dan bermasaalah. Itu akan hanya menyedapkan lagi hati hati yang sudah sememangnya egoistic, zalim dan dikotori dengan perasaan hasad dengki. Pimpinan PAS sudah pun di nodai oleh anasir-anasir perosak yang mempunyai agenda tamak haloba persendirian. Buat apa rayu kepada puak puak ini - puak puak yang dikuasai oleh geng perpaduang.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese