03 February 2010

Kesan serangan ke atas gereja, rumah ibadat: Modal RM90 bilion ditarik keluar

(freemalaysiatoday) Malaysia dikhuatiri mengalami pengaliran keluar modal asing bernilai kira-kira RM90 bilion, susulan serangan ke atas gereja dan masjid yang dikaitkan dengan beberapa anasir dalam Umno.

Sumber-sumber perbankan mengesahkan, syarikat korporat antarabangsa mengeluarkan simpanan berjumlah USD5 bilion (RM17 bilion) dari dua bank antarabangsa di Kuala Lumpur sejak awal bulan lalu apabila bermula serangan ke atas gereja, sekolah mubaligh, masjid serta rumah ibadat Sikh.

Dua bank berkenaan adalah antara 13 bank asing yang beroperasi di Malaysia. Sekiranya purata USD2 bilion dibawa keluar dari setiap bank berkenaan, Malaysia mengalami ‘pendarahan’ lebih USD26 bilion atau RM89 bilion.

"Syarikat asing yang menyimpan modal dan keuntungan di bank asing di Malaysia, melihat kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak mampu lagi mengurus ekonomi dengan baik,” kata sumber-sumber perbankan antarabangsa.

"Ini diburukkan dengan kegagalan kerajaan mengurus siri serangan ke atas gereja, masjid dan kuil sehingga pelabur asing menganggap Malaysia tidak lagi selamat untuk menyimpan modal mereka," kata sumber berkenaan.

Pengaliran modal dari bank-bank terbabit bertambah rancak apabila berita serangan ke atas gereja tersebar ke seluruh dunia dan mencetuskan keresahan dalam pasaran kewangan antarabangsa.

Keadaan bertambah buruk apabila beberapa pihak mula tampil dan mendedahkan pembabitan anasir-anasir Umno di sebalik serangan ke atas gereja.

Menurut sumber-sumber itu, kenyataan-kenyataan oleh Najib mengenai perpaduan kaum dan rekod beliau menguruskan skandal-skandal kewangan Malaysia, kini lebih dilihat sebagai retorik di persada antarabangsa.

Hakikatnya ialah, umum melihat Umno cuba menimbulkan ketegangan kaum dengan menggunakan isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh kaum Kristian untuk meraih sokongan orang Melayu.

Sumber-sumber berkenaan juga merujuk kepada rasa tidak puas hati Washington terhadap Najib bersabit kehilangan dua enjin jet F-5E serta skandal rasuah PKFZ 12 bilion ringgit.

“Umumnya, pelabur semakin tidak yakin kemampuan Umno-BN mempamerkan sistem urus tadbir negara yang adil, telus dan bersih,” kata sumber-sumber berkenaan.

Sejak 8 Januari lalu, Gereja Metro Tabernacle dan 10 lagi gereja, dua masjid dan sebuah kuil Sikh rosak akibat serangan bom api, dibaling batu atau disimbah cat.

Pada 27 Januari lalu, kepala babi dilontarkan ke dalam pekarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama. Ia didalangi pihak tertentu untuk menimbulkan pergaduhan kaum.

Fenomena membawa keluar modal oleh syarikat asing kerana tidak lagi yakin terhadap kerajaan Umno-BN dijangka menjejas unjuran Kementerian Kewangan bahawa ekonomi Malaysia akan tumbuh sebanyak 5 peratus tahun ini.

Ekonomi negara mencatat penguncupan tiga suku tahun berturut-turut pada 2009, iaitu 6.2 peratus pada suku tahun pertama, 3.9 peratus pada suku tahun kedua dan 1.2 peratus pada suku ketiga.

Kemasukan pelaburan terus asing (FDI) ke Malaysia juga mengalami kemerosotan teruk sejak 2008.

Menurut Laporan Pelaburan Dunia 2009, yang diterbitkan oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Malaysia ketinggalan di belakang Thailand, Indonesia dan Singapura daripada segi FDI.

Negara mencatat pengaliran keluar bersih sebanyak USD6 bilion (RM20.4 bilion) pada 2008 berbanding USD2.7 bilion (RM9.2 bilion) pada 2007.

Laporan UBS Investment Research mengkategorikan Malaysia sebagai negara paling teruk mengalami penurunan rizab antarabangsa di seluruh Asia pada tahun lalu, iaitu sebanyak 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM355 bilion.

1 comment:

Anonymous said...

Bertambah tenatlah UBN dalam pengurusan ekonomi Malaysia. Sebelum ini khabarnya Bank Simpanan Naional, satu-satunya institusi kewangan Kementerian Kewangan telah menyingkirkan lebih 40 orang kakitangan. Bukan itu sahaja, sejumlah lebih 6,000 kes Skim Pinjaman Mikro Kredit telah menjadi NPL dan terpaksa dirujuk ke mahkamah!

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin