23 February 2010

Koh Tsu Koon Tersentak Keng Yaik Kata Gerakan Tak Akan Mampu Tawan Kembali Pulau Pinang



Keng Yaik statment: Prove he's wrong

Anggota Gerakan hendaklah melipatgandakan usaha mereka dan berusaha gigih untuk membuktikan bahawa kenyataan penasihat parti bahawa Gerakan telah kehilangan Pulau Pinang adalah salah, kata Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Katanya anggota parti hendaklah mengambil kenyataan Tun Dr Lim Keng Yaik itu sebagai satu cabaran.

"Saya menasihatkan semua anggota parti untuk menjadikannya satu cabaran, mengambilnya sebagai satu cara bagi melipatgandakan usaha, memberi lebih penekanan terhadap ideologi parti dan menyediakan perkhidmatan yang telus dan ikhlas kepada rakyat tanpa memikirkan balasan, secara jujur menunjukkan kepada rakyat bahawa kita menyediakan perkhidmatan.

"Oleh sebab itu, jika mereka (anggota parti) berasa sedih, saya akan menasihatkan mereka untuk membuktikan Penasihat salah," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Lim dalam satu wawancara dengan The Edge Financial Daily pada 18 Feb, yang dilihat mengecewakan ramai anggota Gerakan.

Koh ditemui pemberita selepas melancarkan persidangan mengenai kejururawatan anjuran International College of Health and Science (ICHS) dan Canterbury Christ Church University, United Kingdom, hari ini.

Koh berkata beliau telah menemui Lim (kanan) mengenai perkara itu dan bekas presiden itu menyatakan beliau "berniat baik dan mahu mengejutkan anggota Gerakan daripada kelenaan".

"Penasihat memberi gambaran terburuk dan beliau gembira jika kami dapat membuktikan bahawa beliau salah. Saya turut memberitahu beliau mengenai perasaan dan sentimen anggota akar umbi di Pulau Pinang yang berusaha bangkit semula daripada tsunami politik yang menyebabkan kita tewas teruk," katanya.

Ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap Lim, Koh berkata: "Tidak. Ini merupakan sebuah negara bebas dan demokratik. Beliau membuat kenyataan dan beberapa anggota memberikan reaksi. Kami mengambil maklum perkara ini dan biarlah kita teruskanlah perjuangan." -Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese