13 January 2010

Snap sah sertai Pakatan Rakyat

Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) yang ditubuhkan sebelum Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia, disahkan menyertai Pakatan Rakyat (PR) sejak 2006 lagi yang mana pada ketika itu, gabungan pembangkang di Sarawak menamakan diri mereka sebagai Barisan Bersatu Sarawak (BBS).

Perkara itu didedahkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Dominique Ng Kim Ho ketika mengulas isu penyertaan Snap ke dalam gabungan PR baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun PR ditubuhkan selepas Mac 2008, namun, dalam pilihan raya Sarawak pada 2006, Snap sudah pun bersama PKR, Kongres Dayak Malaysia (MDC) dan PAS bagi menjalinkan satu gabungan politik bagi menentang BN yang akhirnya menyaksikan pembangkang berjaya meraih sembilan buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Walaupun pada masa itu Dap tidak menyertai BBS secara rasmi, tetapi kerjasama yang ditunjukkan oleh gabungan parti politik pembangkang di sini memberi suatu bentuk politik baru di Sarawak,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com di sini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Padungan memberitahu, pada ketika itu MDC turut bertanding menggunakan lambang PKR apabila pendaftaran parti mereka gagal diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Antara pimpinan utama MDC ialah Baru Bian yang kini memikul tugas sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak.

Dominique yang juga mantan Pengerusi PKR Sarawak turut menjelaskan dakwaan segelintir pihak berhubung, ada pemimpin Snap yang menyokong BN.

"Pemimpin Snap yang menyokong BN itu telah dikenakan tindakan disiplin oleh jawatankuasa Snap dan orang itulah yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Batang Air tahun lalu sehingga menyaksikan BN mengekalkan DUN tersebut,” katanya.

Mengulas isu sama, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Addy Allyanni berkata, Presiden Snap, Edwin Dundang Bugak pada Majlis Makan Malam PR di Miri pada 9 Januari lalu, ada membuat pengumuman berkaitan perlunya kerjasama antara parti-parti pembangkang di Sarawak dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Addy, fokus ucapan Edwin pada malam itu berkaitan ekonomi dan politik Sarawak yang sekian lama ketinggalan akibat kelemahan pentadbiran kerajaan BN.

Majlis pada malam itu adalah sesuatu yang bersejarah bagi parti politik pembangkang di negeri itu kerana buat pertama kalinya gabungan PKR, SNAP, PAS dan DAP duduk bersama dalam satu majlis rasmi atas nama Pakatan Rakyat yang turut dihadiri pimpinan PR negeri dan pusat.

Antara pimpinan PKR yang hadir pada majlis itu ialah Pengarah Strategik, Tian Chua, Pengerusi, Baru Bian, Timbalan Pengerusi, Wan Zainal Wan Senusi, Naib Pengerusi, Jimmy Donald, Ketua AMK Sarawak yang baru dilantik, Ahmad Nazib Johari dan mantan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Hafsah Harun.

Turut serta ialah beberapa pimpinan DAP, PAS dan Snap iaitu Speaker PR di Perak V. Sivakumar, Adun DAP kawasan Batu Lintang, Voon Lee San, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Addy Allyanni, Presiden SNAP, Edwin Dundang Bugak dan Timbalan Presiden Snap Kebing Wan serta beberapa pimpinan PR di Miri.

Sementara itu, Voon Lee San mencadangkan agar Snap terus menyemarakkan sejarah perjuangan Stephen Kalong Ningkan dalam parti yang ditubuhkan sejak 1961 itu.

Menurutnya perkara itu penting bagi meningkatkan momentum Snap yang sejak dahulu lagi menunjukkan kesungguhan membantu masyarakat pelbagai kaum di Sarawak khasnya kaum Iban yang gagal mendapat pembelaan kerajaan negeri pimpinan BN.

PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP sehingga kini masih lagi menunggu kelulusan rasmi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pendaftaran gabungan itu yang tertangguh hampir tiga bulan. erapakatan

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin