19 January 2010

PKR beri diplomat taklimat isu 'Allah', kes liwat Anwar



Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi tadi memberi taklimat kepada para diplomat asing di negara ini tentang perkembangan kes liwat kedua penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual bermula minggu depan.

Turut diberi taklimat ialah isu kontroversi penggunaan kalimah “Allah”.

Wakil-wakil media asing juga hadir pada majlis taklimat ini. Bagaimanapun Anwar tidak menghadiri taklimat itu yang diadakan di sebuah hotel di Ampang dekat sini.

Sebaliknya taklimat diberikan oleh timbalan presiden Dr Syed Husin Ali dan naib-naib presiden Sivarasa Rasiah dan Mustafa Kamil Ayub. Mustafa juga merupakan pengerusi biro antarabangsa PKR.

Turut hadir pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Taklimat itu diberikan dua hari selepas Anwar kembali dari luar negara.

Langkah pagi ini menyusul pertemuan Anwar dengan sekumpulan kira-kira 120 orang yang terdiri daripada ahli poltik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan termasuk pemimpin agama dan ahli akademik berhubung isu kalimah “Allah” di kediamannya malam tadi.

Satu dokumen bersama hasil pertemuan malam tadi dijangka dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Syed Husin ketika dihubungi mengesahkan taklimat hari ini dihadiri kira-kira 50 perwakilan asing termasuk duta beberapa negara.

Jelas beliau, pihaknya menyentuh kedua-dua isu kalimah Allah dan kes mahkamah membabitkan Anwar pada taklimat hari ini.

“Tentang soal kes Anwar, kami menjelaskan bahawa ada unsur-unsur tidak adil dalam soal pihak berkuasa menangani kes ini.

“Nampaknya mereka cuba untuk mengetepikan Anwar daripada kegiatan politik kerana beliau dianggap sebagai ancaman kepada kerajaan,” katanya.

Dalam isu kalimah Allah, kata beliau, PKR mengetengahkan pendirian mereka berdasarkan lunas agama yang bukan Islam juga boleh menggunakan kalimah Allah.

“Kami menekankan bahawa isu kalimah Allah hanya dibesar-besarkan oleh kerajaan untuk mendapatkan sokongan, menggunakan isu ini untuk membawa kemenangan kepada BN,” kata Syed Husin.

Bagaimanapun Syed Husin menafikan taklimat ini bertujuan mendapatkan simpati terhadap Anwar menjelang kesnya yang dijadual bermula Isnin ini.

“Kami cuma memberi penerangan kepada mereka tentang isu kalimah Allah dan pada masa yang sama mengenai kes Anwar dan menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan mereka,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, ini bukan perkara baru kerana pihaknya pernah mengadakan taklimat seperti ini sebelum ini.

PKR juga kini mengadakan program jelajah negara sejak minggu lalu dan ceramah 40 malam anjuran sayap pemudanya, Angkatan Muda Keadilan sejak bulan lalu.

Difahamkan langkah itu diambil oleh parti dalam usaha mendapatkan sokongan ekoran tuduhan yang dikenakan ke atas Anwar, yang kedua sejak tahun 1998.

Anwar, yang juga ketua umum Pakatan Rakyat, sudah banyak kali menyifatkan tuduhan itu sebagai konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan beliau dan partinya.

Pada tahun 2008, kerajaan juga pernah mengadakan taklimat sedemikian kepada diplomat asing, beberapa minggu selepas Anwar ditahan berhubung dakwaan tersebut. Kerajaan menafikan dakwaan itu.

Minggu lalu Kementerian Dalam Negeri memberi taklimat kepada diplomat asing mengenai perkembangan isu kalimah “Allah”.

Anwar didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 25, bekas pembantu peribadinya, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Perbicaraan kes liwat itu ditetapkan bermula Isnin ini selepas permohonannya untuk membuang kes tersebut ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu. themalaysianinsider

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin