22 January 2010

Pengumuman siasatan Dr Hasan, Khalid 29 Januari



Kenyataan akhbar Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat.

Lanjutan kepada arahan jawatankuasa PAS Pusat, yang menerima aduan perbuatan salah laku (tatatertib) ke atas dua orang ahli PAS iaitu:

1. YB Khalid Abdul Samad

2. YB Datuk Dr Hassan Mohd Ali

Jawatankuasa Disiplin telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kedua-dua ahli tersebut.

Kedua-dua mereka telah membuat jawapan secara bertulis, dan Jawatankuasa Disiplin telah menilai jawapan kedua-dua ahli tersebut dan mendapati ada kes prima-facie dan memberi peluang kepada kedua-duanya untuk pendengaran.

Pendengaran telah diadakan seperti berikut:

1.YB Khalid Abdul Samad pada 7 Januari 2010, beliau membawa seorang saksi dan tidak ditemani oleh mana-mana peguam. Pendengaran diadakan secara tertutup di atas pilihan beliau.

2.YB Datuk Dr Hassan Mohd Ali pada 9 Januari 2010, dan beliau membawa dua orang saksi dan tidak ditemani oleh mana-mana peguam.

Setelah mengambil kedua-dua keterangan yang dihadapkan, jawatankuasa telah menangguhkan pendengaran bagi membolehkan penelitian ke atas fakta-fakta dan dokumen-dokumen yang diterima.

Pada hari ini (22 Januari 2010), jawatankuasa telah menyambung persidangan untuk membuat penilaian dan rumusan berkait pendengaran tersebut. Pihak jawatankuasa telah sampai ke tahap keputusan tetapi memerlukan kehadiran kedua-dua ahli yang terlibat untuk jawatankuasa menyampaikan keputusan kepada mereka. Jawatankuasa merasakan adalah tidak wajar untuk mengumumkan keputusan sebelum ianya disampaikan kepada mereka terlebih dahulu.

Jawatankuasa menangguhkan pengumuman keputusan kepada satu tarikh yang bersesuaian kepada semua pihak.

Sekian.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin