21 January 2010

Dua surau di Muar dibakar



Serangan ke atas rumah ibadat berulang lagi selepas senyap seketika, apabila dua surau di Muar, satu di Jalan Ismail Omar dan satu lagi di Jalan Salleh menjadi sasaran dibakar awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata kebakaran di Surau Silaturahim di Jalan Ismail Omar dan Surau Parit Beting di Jalan Salleh yang jaraknya kira-kira dua kilometer berlaku hampir serentak kira-kira jam 2.30 pagi.

"Kebakaran di Surau Silaturahim disedari oleh tiga lelaki yang sedang menaiki sebuah kereta yang melalui kawasan itu pada kira-kira jam 2.30 pagi, lalu memadamkan kebakaran tersebut sebelum membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

Jalaluddin berkata kebakaran di surau itu melibatkan sebahagian tingkap dan langsir yang terletak di ruang legar surau berkenaan dan polis menemui kesan"cetusan api dari simbahan minyak tanah di kawasan tingkap tersebut."

Sementara kebakaran yang melibatkan pintu masuk ruang solat Surau Parit Beting, pula disedari pada jam 11 pagi apabila seorang ustazah yang datanguntuk mengajar agama di surau itu, sebelum membuat laporan polis pada jam 1.30 tengah hari tadi.

Mengenai sama ada ianya satu bentuk serangan ke atas surau tersebut, beliau berkata, pihak polis masih menyiasatnya.

" Punca kebakaran di kedua-dua surau itu masih dalam siasatan dan dianggarkan setiap satu surau tersebut mengalami kerugian kira-kira RM300," katanya

Sejak 8 Januari lalu, beberapa tempat ibadat- sebahagian besarnya gereja - menjadi sasaran serangan bom api dan perbuatan vandalisme.

Ianya dipercayai ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang mengetepikan larangan kerajaan ke atas bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God'.

Ekoran itu, mahkamah berkenaan memutuskan bahawa mingguan Katholik, Herald, boleh menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Malaysianya.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu selesai rayuan oleh kerajaaan terhadapnya.

1 comment:

wayarman said...

rasa nya terdapat rancangan konspirasi dalam serangan terbaru ini., teknik serangan adalah sama seperti serangan ke atas gereja, Molotov cocktail digunakan, jangan terjebak ini mungkin politik kotor untuk mencetuskan perkauman. diharap semua bersabar.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese