25 December 2009

Sidang Akhbar GEGAR mengenai Royalti

KENYATAAN MEDIA OLEH GERAKAN BERTINDAK KEMBALIKAN ROYALTI RAKYAT (GEGAR)

Mengapa Kerajaan Persekutuan Mesti Mengembalikan Royalti kepada Kerajaan Negeri?

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) adalah badan NGO yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

GEGAR mendesak Kerajaan Malaysia untuk segera menunaikan janji dan tanggungjawabnya untuk membayar wang tunai kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyatnya.

Hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.

Selain itu, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi PETRONAS untuk memberi 5% royaltI kepada negeri. Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak zon eksklusif ekonomi menjangkau jarak 200 batu nautikal.

Pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautikal adalah mengelirukan kerana Akta Dharurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

Berikut adalah lima huraian mengapa kerajaan mesti mengembalikan royalti kepada rakyat melalui kerajaan negeri:

(1) Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS ketika itu, iaitu YM Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan PETRONAS adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi Negeri Terengganu, pemberian Royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “Wang Ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai Royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai Ehsan. Sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai Royalti dan bukan Ehsan.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi PETRONAS. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak 5% setahun – dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.

(2) Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (PETRONAS) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.

(3) Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautikal seperti dalam Akta Pelantan Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat. Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika. Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di Perairan Laut China Selantan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan / Teluk Siam.

(4) Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ihsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ihsan. Wang ihsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ihsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ihsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.

(5) Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (Persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia. Konsep federalism menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalism, negeri yang berada dalam persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan. Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalism kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Dengan ini, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga nautikal serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada zon ekonomi eksklusif kerana ia bukan negeri – adalah tidak dapat dipertahankan.

Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata.

Yang benar,

Dr Abdul Halim Bin Yusof
En Mohamad Fauzi Bin Abu Samah
Pengerusi Bersama
Gerakan Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR)

25 Disember 2009
Jerteh, Terengganu.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin