03 December 2009
Siasat proksi Najib terlibat ubah akuan Bala
Isu dua akuan bersumpah yang saling bercanggahan oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam berhubung kes Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan "proksi" perdana menteri, dilaporkan kepada polis Bukit Aman hari ini.
Dalam aduannya, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyebut bahawa penyiasat tersebut, yang asalnya mendakwa Datuk Seri Najib Razak ada hubungan sulit dengan wanita Mongolia itu, berbohong apabila menafikannya dalam tempoh 24 jam.
"Maknanya sudah tentu salah satu akuan bersumpahnya adalah palsu. Membuat akuan bersumpah dengan maklumat palsu adalah salah di sisi undang-undang.
"Namun tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas Balasubramaniam," aduan polis itu dipetik.
Dalam kenyataan terbarunya, Balasubramaniam mendedahkan bagaimana wujud tekanan terhadapnya agar menukar akuan bersumpah pertamanya, 3 Julai tahun lalu, susulan pertemuan dengan beberapa individu – antaranya adik perdana menteri Datuk Mohamed Nazim Razak dan peniaga permaidani Deepak Jaikishan, yang didakwa rapat dengan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.
Nama-nama ini bagaimanapun tidak dinyatakan dalam aduan polis SAMM di ibu pejabat polis persekutuan pagi ini, sebaliknya hanya disebut "proksi" Najib.
Penyelaras SAMM Badrul Hisham Shaharin (foto atas, berkaca mata), yang membuat aduan tersebut, menambah kenyataan terbaru Balasubramaniam – bekas anggota polis Cawangan Khas – boleh didapati dalam laman web termasuk rakaman video di Youtube.
"Rakaman yang tersebar dalam Youtube dan banyak laman lagi menyatakan dengan jelas, beliau diculik, diugut dan disogok untuk menutup, (dan) menarik semula akuan bersumpahnya yang pertama dan menghilangkan diri (ke luar negara),” katanya dalam aduan itu.
"Beliau mengakui semua kegiatan tersebut melibatkan polis, tentera dan beberapa individu yang bertindak bagi pihak (proksi) Najib Razak.”
Dalam aduan sama, Badrul Hisham yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menyebut Balasubramaniam mendakwa menerima RM750,000 dan “dijanjikan RM5 juta sebagai habuan tambahan” selepas menafikan akuan pertama dalam akuan bersumpah kedua – yang dibuat 4 Julai tahun lalu.
Laporan tersebut diserahkan kepada pegawai perhubungan awam polis Bukit Aman, Inspektor Mohd Sail Hassan di hadapan pintu masuk ibu pejabat tersebut.
Semalam, Pemuda Pakatan Rakyat membawa isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, dalam satu kenyataan parti itu hari ini, diminta hadir memberikan keterangan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 9.30 pagi esok berhubung dakwaan Balasubramaniam. - Malaysiakini
LAPORAN RASMI MENGENAI TIGA KES UJIAN LITMUS BUAT PDRM - che'GuBard
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment