23 December 2009

Royalti Belum DiKembalikan - Terengganu



Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini mendengar penjelasan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said yang menyatakan, rundingan pembayaran royalti minyak masih belum selesai.

Dengan itu mengesahkan bahawa pembayaran royalti petroleum kepada negeri Terengganu masih tertangguh.

Dengan pengakuan Ahmad itu juga, sekaligus membuktikan penyerahan cek yang dikatakan pembayaran royalti berjumlah RM400 juta oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib pada tahun lalu adalah tidak benar dan hanyalah lakonan semata-mata.

Ahmad berkata kerajaan negeri menolak tawaran pembayaran royalti yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM1.686 bilion dan bertegas menuntut jumlah RM2.792 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.

Berikutan itu, masih tidak ada kata sepakat dicapai berhubung pembayaran royalti minyak oleh Petronas itu menyebabkan rundingan mengenainya berlanjutan sehingga kini.

"Walaupun kerajaan negeri berhasrat untuk menyelesaikan perjanjian itu secepat mungkin, tetapi terdapat beberapa perkara dalam perjanjian itu yang masih tidak mendapat dipersetujui kedua-dua pihak.

"Saya tidak dapat menjelaskan secara terperinci tentang isu atau perkara baru yang dapat dipersetujui oleh kerana kedua-dua pihak masih lagi mengadakan rundingan dan ini mungkin akan menjejaskan perundingan yang sedang berlangsung,"ujarnya

Menjawab soalan lisan yang dikemukakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mengenai perkembangan terkini proses pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu, Ahmad berkata mesyuarat berkenaan wang royalti dimulakan pada 16 Sept 2008 antara tiga pihak iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri Terengganu dan Petronas.

"Saya telah jelaskan secara terperinci kepada Perdana Menteri ketika itu bahawa perlunya kerajaan pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian asal," katanya.

Katanya mesyuarat itu mengandungi tiga intipati, iaitu royalti dibayar terus oleh Petronas kepada kerajaan negeri; semua pembayaran yang telah dibuat oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan antara 2000 hingga 2009 adalah dianggap sebagai pembayaran royalti kepada Terengganu dan kerajaan negeri menarik balik saman terhadap Petronas.

Sumber Bernama memetik Ahmad berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk membincangkan komponen perbelanjaan yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan tetapi perlu dibayar balik oleh Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri.

Mesyuarat terakhir berlangsung di Kuala Terengganu pada 18 Ogos 2009 dan sehingga tarikh itu, Kementerian Kewangan memperincikan iaitu, sepanjang 2000 hingga Mac 2009, kementerian itu telah menerima sebanyak RM15.847 bilion daripada Petronas dan jumlah pengeluarannya sebanyak RM16.576 bilion.

"Perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan telah berjalan sekian lama dan pihak kementerian masih tidak berganjak dengan keputusan awal untuk membayar balik RM1.686 bilion sahaja.

"Sedangkan tuntutan kerajaan negeri pada ketika ini berjumlah RM2.792 bilion setelah ditolak perbelanjaan yang dibelanjakan di negeri Terengganu. Itulah senarai yang kita putuskan dan kita berharap rundingan dapat diselesaikan," katanya.

Tegasnya, selagi perkara itu tidak diselesaikan, kerajaan negeri tidak akan menandatangani sebarang perjanjian berhubung perkara itu. BO

1 comment:

Anonymous said...

Mungkir janji adalah salah satu sifat orang munafik. Dua lagi ialah berdusta dan khianat.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin