25 December 2009

PAS: Kes sah, Hasan dan Khalid dipanggil bulan depan

Jawatankuasa disiplin PAS mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti adanya kes kukuh terhadap dua pemimpin PAS Selangor termasuk ketua negeri Datuk Dr Hasan Ali.

Justeru, Hasan yang kini merupakan pesuruhjaya PAS negeri dan bekas timbalannya Khalid Samad akan dipanggil untuk memberi penjelasan lanjut kepada jawatankuasa itu minggu pertama bulan depan.

Pengerusi jawatankuasa disiplin Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu The Malaysian Insider, walaupun mereka, yang bertemu malam kelmarin berpuas hati dengan laporan bertulis kedua-dua Hasan dan Khalid. tetapi memerlukan penjelasan lanjut.

“Kami berpuas hati dengan penjelasan bertulis diberikan oleh mereka. Kami mendapati adanya kes terhadap mereka.

“Jadi, kami memutuskan untuk memanggil mereka supaya memberi penjelasan lisan berhubung beberapa aspek,” tambah beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan aspek yang memerlukan penjelasan lanjut.

Tanggal 7 dan 9 Jan telah ditetapkan untuk memanggil mereka menghadap anggota jawatankuasa disiplin, kata Tuan Ibrahim yang juga salah seorang naib presiden PAS.

“Kami sudah pun menghubungi Khalid dan beliau telah bersetuju untuk bekerjasama dengan kami dan akan menemui jawatankuasa pada 7 Jan. Beliau sudah pun bersetuju untuk menemui kami,” ujar beliau.

“Bagaimanapun belum ada tarikh persetujuan daripada Datuk Hasan dan sekretariat akan berhubung dengan Datuk Hasan untuk membolehkan beliau menemui kami,” katanya.

Kedua-dua mereka sedang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang didakwa menjejaskan imej parti. Antara bukti yang diserahkan ialah rakaman audio seorang pemimpin PAS yang didakwa memperlekeh kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

Tuan Ibrahim menjelaskan bentuk hukuman bergantung pada penjelasan susulan mereka.

Jawatankuasa disiplin mempunyai tiga pilihan hukuman iaitu memberi amaran bertulis, menggantung jawatan yang disandang ataupun memecat dari parti, bergantung pada tahap serius kesalahan dilakukan.

Belum ada keputusan untuk memanggil saksi-saksi lain, kata beliau.

“Jawatankuasa disiplin akan menentukan hukuman, bukannya jawatankuasa pusat. Bagaimanapun mereka yang disabitkan kesalahan boleh merayu kepada jawatankuasa pusat,” kata Tuan Ibrahim.

Mengenai khabar angin bahawa Hasan sudah diputuskan hukuman ketika pertemuan kelmarin, Tuan Ibrahim menafikan perkara itu.

“Kami masih di peringkat mengkaji penjelasan mereka, jadi tiada situasi demikian (hukuman sudah dijatuhkan),” katanya.

Khabar angin bahawa Hasan yang juga Exco Kerajaan Selangor sudah dikenakan hukuman bertiup sejak awal pagi semalam, beberapa jam selepas jawatankuasa disiplin selesa mengadakan mesyuaratnya.

Spekulasi mendakwa jawatankuasa disiplin telah mengesyorkan agar Hasan digantung dari parti selama dua penggal.

Hasan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen beliau.

Bagaimanapun kelmarin Hasan memberitahu pemberita bahawa beliau bersedia meletakkan jawatannya dalam parti jika perkara itu diputuskan oleh jawatankuasa disiplin.

Namun beliau berharap apa pun keputusan yang bakal dikenakan jawatankuasa disiplin, ia perlu dibuat secara adil dan tanpa sebarang muslihat.

The Malaysian Insider juga difahamkan khabar angin Hasan sudah dikenakan hukuman disebarkan oleh saingan dalam parti dalam usaha untuk mengenakan tekanan ke atas jawatankuasa disiplin agar menghukum Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia itu.

Kumpulan yang menentang kepimpinan Hasan bimbang jawatankuasa disiplin akan mengambil masa sebelum membebaskan beliau, demikian kata seorang pemimpin PAS.

Bagaimanapun dua lagi naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar semasa dihubungi The Malaysian Insider lewat semalam juga menolak khabar angin sedemikian.

“Apa jua keputusan ia mesti disahkan oleh jawatankuasa pusat tetapi kami belum mendengar apa-apa,” katanya.

Salahuddin juga berpandangan sama dengan Mahfuz.

Bagaimanapun katanya, beliau “tidak pasti” sama ada jawatankuasa disiplin sudah memutuskan bentuk hukuman ke atas Hasan.

Dalam pada itu, Khalid pula ketawa besar sambil menganggap ia sebagai “jenaka” hujung tahun.

“Saya ada mendengar khabar angin ini dan ada blog yang membawa maklumat ini,” kata Khalid, juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, yang turut dihubungi lewat semalam.

Bagaimanapun kata beliau, adalah terlalu awal untuk mengatakan mengenai keputusan siasatan jawatankuasa disiplin.

Khalid mengandaikan mereka akan mengetahui keputusan jawatankuasa disiplin akhir bulan depan.

“Kita masih di peringkat awal siasatan, mereka (jawatankausa disiplin) masih meneliti laporan kami dan mereka akan mengemukakan kepada jawatankuasa pusat untuk perbahasan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam ini.

The Malaysian Insider difahamkan jawatankuasa pusat PAS akan mengadakan mesyuarat akan datang pertengahan bulan depan. themalaysianinsider

1 comment:

MANSOR JUNUS said...

Saya berharap kerja2 pembersihan dapat dilaksanakan dengan lebih segera. Lagi lama tekateki berlegar,lagi kurang keyakinan rakyat kepada PAS. Semua mata sedang melihat bagaimana PAS menangani masalah. Kita cuma bercakap tentang satu Hassan Ali sahaja. Ingat waktu ini keyakinan PAS di Selangor semakin nipis.

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese