16 December 2009
'Ke SPRM pula jika MAIWP gagal jelas'
KUALA LUMPUR, Harakahdaily 16 Dis: Dewan pemuda PAS (DPP) Wilayah hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menuntut penjelasan berhubung status tanah Masjid Sri Hartamas.
Ianya dibuat ekoran MAIWP masih lagi berdiam diri biarpun isu tersebut dilontar awal minggu lalu dan memohon penjelasan segera dari majlis agama tersebut yang bertanggungjawab secara langsung berhubung penukaran status tanah itu kepada kawasan komersil.
Status tanah masjid beralamat di Lot 48671 di Jalan 19/70A, Desa Sri Hartamas itu didakwa telah ditukar dari tanah Masjid kepada tanah Pembangunan (Perniagaan) untuk dimajukan.
Memorandum tersebut diserahkan ketua DPP Wilayah, Kamaruzaman Mohamad bersama Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad dalam satu pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif MAIWP, Tuan Haji Anan Mohamad di pejabatnya.
Mereka menuntut penjelasan MAIWP terhadap 12 perkara yang berkait dengan isu tersebut seperti berikut:
1. Menjelaskan kenapakah status tanah berkenaan ditukar dari tanah ’Masjid’ kepada tanah ’Pembangunan (Perniagaan)’.
2. Memberikan sebab kenapa tanah itu tidak dimajukan bagi membina Masjid atau Institusi Islam lain yang sesuai dengan kedudukannya.
3. Menjelaskan sama ada tanah berkenaan telah disewakan atau dipajak atau dijual terus kepada Syarikat Leader Domain Sdn. Bhd dan Syarikat Glomac Resources Sdn. Bhd.
4. Memberikan justifikasi tentang kewajaran pembinaan Glomac Galeria bukannya MAIWP Galeria di atas tapak berkenaan.
5. Menerangkan apakah konsep pembangunan yang dibuat dalam projek Glomac Galeria dan apakah manfaatnya kepada umat Islam disekitar Sri Hartamas.
6. Menjelaskan apakah kepentingan MAIWP dalam projek Glomac Galeria.
7. Mendedahkan siapakah pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam memajukan projek berkenaan.
8. Memberikan jawapan bagaimana 20 unit untuk lot perniagaan yang sedang dibina dalam projek Glomac Galeria boleh mendapat status pegangan bebas dan apkah kesannya terhadap status tanah Lot 48671 kelak.
9. Menyenaraikan senarai nama pemilik-pemilik 20 unit lot-lot perniagaan yang didakwa oleh Glomac Berhad sebagai sudah habis dijual dengan status geran milikan ’Free Hold’.
10. Menjelaskan ke manakah duit jualan bagi projek bernilai RM 8.3 juta itu di salurkan dan ;
11. Apakah baki kepentingan yang tinggal buat umat Islam di sri Hartamas setelah projek itu disiapkan.
12. Mendedahkan dokumen-dokumen Perjanjian yang terlibat dalam transaksi hartanah tersebut seperti Sale & Purchase Agreement, Joit Venture Agreement, Construction Agreement atau Building Agreement atau apa-apa dokumen lain yang terlibat.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuam hampir setengah jam itu, Idris memberitahu tiada apa-apa penjelasan diberikan dan pihak MAIWP meminta untuk membuat demikian kemudian.
Selain itu mereka dalam pertemuan itu juga diberitahu bahawa tanah berkenaan diberikan kepada syarikat Glomac Resources kerana syarikat tersebut memberi tawaran terbaik kepada MAIWP.
Idris juga berpendapat biarpun tanah tersebut tidak diguna untuk membangunkan masjid, namun wajar diguna untuk perkara yang memberikan kebaikan kepada ummat islam.
Manakala Kamaruzaman pula menyelar sikap Umno Wilayah Persekutuan dan Syarikat Glomac kerana dilihat mendahului MAIWP dalam menjawab isu tersebut sedangkan ianya dikemukakan kepada majlis agama islam itu.
Sehubungan itu mereka tetap akan menunggu penjelasan MAWIP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment