13 November 2009

Petra dilepas kes fitnah Rosmah

Kegagalan polis mengesan penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin sekali lagi mendorong mahkamah melepaskan tanpa membebaskannya daripada satu tuduhan memfitnah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Sekeri Mamat hari ini telah melepas tanpa membebaskan Raja Petra daripada tuduhan memfitnah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain kerana penyerahan waran tangkap terhadapnya tidak disempurnakan.

Keputusan itu juga dibuat disebabkan notis tunjuk sebab kepada penjamin iaitu isteri Raja Petra, Marina Lee, juga tidak dapat dilakukan.

Berdasarkan rekod lepas, waran tangkap terhadap Raja Petra dikeluarkan pada 26 Mei lalu dan kesnya telah disebut sebanyak dua kali.

Hari ini merupakan sebutan kali terakhir.

Raja Petra, 59, dituduh memfitnah Rosmah, semasa Najib menjadi timbalan perdana menteri serta pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Lt Kol Norhayati Hassan dan suaminya Lt Kol Abdul Aziz Buyong, dalam satu akuan bersumpah yang dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 10.25 pagi 18 Jun tahun lepas.

Raja Petra, yang turut diwakili peguam Amarjeet Singh, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff.

Pada 11 Nov lalu, atas kegagalan pihak polis juga, Raja Petra dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung tuduhan menerbitkan kata-kata hasutan di laman web. BERNAMA

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin