20 November 2009

PAS: Jangan abai bukan Melayu jika mahu Pakatan kekal di Selangor

Oleh Samsuri Roslan

SHAH ALAM, Nov 20 — Para pemimpin PAS termasuk wakil rakyat parti itu di Selangor disaran tidak menjadikan agenda Melayu sebagai keutamaan semata-mata demi meraih sokongan menyeluruh dalam pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan dalam waktu terdekat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib berkata, realiti politik dalam pilihan raya umum ke-12 menunjukkan majoriti pengundi Melayu di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor tidak berpihak sepenuhnya kepada Pakatan Rakyat (PR).

Mana-mana kawasan yang majoriti pengundinya adalah Melayu, lebih 83 peratus, dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), kata beliau ketika ditemui di sini.

“Oleh itu, ADUN PAS dan PKR daripada kalangan Melayu tidak perlu menjadikan agenda Melayu sebagai keutamaan dan keterlaluan kerana mereka masih lagi berpihak kepada Umno,” kata beliau lagi.

Sebagai ADUN, beliau turut mengakui masih menghadapi kesukaran untuk meraih sokongan padu daripada kalangan pengundi Melayu di kawasan yang diwakilinya berbanding pengundi kaum Cina dan India.

Sehubungan itu, bekas Ketua Penerangan PAS Selangor ini masih tidak yakin bahawa pengundi Melayu terutamanya di kerusi DUN beliau wakili akan berpihak kepada kerajaan PR dalam pilihan raya umum ke-13 seperti yang diuar-uarkan oleh sesetengah pimpinan negeri.

Pandangan Saari mempunyai asas jika melihat kepada keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Kawasan majoriti pengundi Melayu yang melebihi 80 peratus dikuasai oleh calon Umno berbanding PR.

Hanya dua kawasan DUN yang majoriti pengundi Melayu melebihi 80 peratus iaitu Hulu Kelang (80 peratus) dan Gombak Setia (81 peratus). Hulu Kelang kini diwakili Saari sementara Gombak Setia pula dimenangi Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Enam kerusi DUN lain yang dikuasai wakil rakyat PAS ialah Lembah Jaya yang mempunyai pengundi Melayu seramai 55.3 peratus, Cempaka (58 peratus), Bangi (64 peratus), Meru (60 peratus), Selat Kelang (64.4 peratus) dan Si Jangkang (66 peratus).

Sementara sembilan DUN yang dikuasai oleh calon PKR kalangan Melayu ialah Ijok (49 peratus), Bukit Antarabangsa (57 peratus), Seri Setia (54.4 peratus), Taman Medan (60 peratus), Kota Damansara (55.8 peratus), Kota Anggerik (68 peratus), Batu Tiga (69 peratus) dan Sri Muda (53.3 peratus).

Saari khuatir sokongan terhadap kerajaan negeri akan berubah dalam pilihan raya umum akan datang jika pengundi Cina dan India tidak lagi memberi sokongan padu kepada calon PR.

“Kerana itu, kita perlu memperjuangkan rakyat secara lebih meluas yang boleh diterima oleh mereka berbanding dengan hanya memberi tumpuan kepada pengundi Melayu semata-mata,” katanya.

“Apa yang lebih penting adalah memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing daripada terjebak dengan isu Melayu yang menjadi mainan politik Umno,” katanya lagi.

Beliau juga mengakui kerajaan PR “besar hati” dengan memberi tiga Exco kepada kepemimpinan PAS negeri walaupun parti ini hanya mempunyai lapan kerusi. themalaysianinsider

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese