19 November 2009

PARLIMEN : Pemberian wang ehsan jadi alat politik bukan undang-undang - Presiden PAS



Yang Berhormat Tuan Pengerusi saya ingin menyentuh yang pertama B.4, 010000 -Suruhanjaya Pilihan Raya, 010100, 010200.

Sebagaimana kita maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya tiap-tiap sepuluh tahun mereka membuat persediaan baru. Melihat kepada perkembangan semasa dan terkini, apa yang mendukacitakan tiga buah negeri di Utara dan Pantai Timur, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak mengalami perubahan sebagaimana ianya berlaku dan tidak ada penambahan kawasan Parlimen.

Kawasan-kawasan di sana adakan juga satu kawasan Parlimen seperti Baling, Sik, Kuala Krai, Jeli, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman. Sebahagiannya sama besar dan lebih besar dari negeri Perlis. Akan tetapi tidak ada perubahan oleh kerana kita telah mengalami keadaan yang berubah, penduduk yang bertambah, menyebabkan mereka yang menjadi Ahli-ahli Parlimen mengalami kesukaran untuk melawat dan mengendalikan anak buah mereka dalam keadaan yang berubah.

Oleh kerana itu, sangat wajar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah Jabatan Perdana Menteri membuat kajian untuk membuat perubahan kepada kawasan-kawasan di negeri tersebut. Kedua, saya ingin menyentuh B.6, 020000 - Unit Perancang Ekonomi dan 020200 - Perancangan Ekonomi, sebagaimana yang disebut oleh rakan-rakan yang lain dalam perbahasan tadi bersabit dengan royalti petroleum yang dibatalkan di Terengganu pada tahun 2000 dan terkini di Kelantan.

Saya melihat ianya lebih bersifat politik daripada bersifat perundangan dan perjanjian yang sebenarnya berlaku, kita perlu kembali kepada kronologi bagaimana royalti itu berlaku kepada negeri-negeri di Sabah dan Sarawak dan diikuti oleh negeri Terengganu. Hasil dari perundingan antara Almarhum Perdana Menteri Tun Abdul Razak dengan kalangan perundangan dan kalangan ekonomi bagi menyelesaikan krisis di antara Malaysia Timur dan Barat pada masa itu.

Lalu mereka bersetuju menggubal dan meluluskan Akta Petroleum 1974 yang membawa kepada penubuhan Petronas. Maka Petronas telah mengadakan perjanjian dengan semua negeri-negeri, di mana ternyata dalam perjanjian itu, mana negeri yang ada hasil petroleum sama ada di laut ataupun di darat tanpa mengira berapa jaraknya di laut, maka diberi peruntukan royalti sebanyak 5%. Maka diberi kepada Sabah dan Sarawak.

Negeri Terengganu berlangsung pada tahun 1978 sehingga tahun 2000, ertinya 20 tahun lebih sehinggalah kerajaan PAS memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di masa itu, maka berlaku perubahan.

Di mana kita melihat pemberian di negeri Terengganu sama dengan negeri Sabah dan Sarawak. Secara rasmi melalui kenyataan Perdana Menteri di masa itu.

Melalui jawapanjawapan di Parlimen, melalui kenyataan bertulis dan kenyataan lisan semuanya menggunakan perkataan royalti. In secara rasmi dan kenyataan yang jelas dan nyata. Saya melihat perubahan berlakunya rampasan terhadap negeri Terengganu adalah kerana lebih berunsurkan politik, berunsurkan hilangnya semangat patriotisme dan hilangnya semangat persaudaraan di kalangan negeri.

Menganggap Pembangkang adalah musuh dan kita perlu ingat bahawa pembatalan ini berlaku hasil daripada peranan UMNO, tahun 2000. Apabila adanya cadangan dari UMNO, kalau tidak silap saya usul yang mendesak supaya dibatalkan royalti petroleum pada negeri Terengganu kerana diperintah oleh parti yang dianggap tidak sama dengan Kerajaan Pusat.

Maka berlakulah peristiwa yang malang dan mendukacitakan.
Bertukar kepada duit ihsan, yang malangnya ihsan ini bukannya rakyat diutamakan. Akan tetapi kroni diutamakan. Kerana duit ihsan ini dikendalikan oleh tangan-tangan yang tertentu.

Sama ada tangan-tangan yang nyata atau tangan-tangan yang ghaib. Melalui projekprojek yang besar, projek-projek yang mewah, maka diutamakan kroni-kroni yang tertentu, hanya kuah yang sedikit turun kepada rakyat. Ini ternyata, ini yang berlaku di negeri Terengganu yang menimbulkan krisis di antara istana dan di antara politik. Ini puncanya. Saya bimbang Kelantan akan mengalami nasib yang sama akan mengalami keadaan yang sama.

Yang ketiga, saya ingin menarik perhatian kepada 050000 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berhubung dengan penguatkuasaan barangan halal. Barangan halal merupakan barangan yang menarik minat seluruh dunia, bukan sahaja dari kalangan orang Islam termasuk di kalangan orang yang bukan Islam. Kerana apabila sebut halal bukan sahaja berkat pada orang Islam, termasuklah bersih, adanya unsur-unsur kebersihan. Maka ia mendapat satu pasaran yang luas.

Apa yang membimbangkan, di sana ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang menyalahgunakan sijil halal. Oleh kerana itu, satu peraturan yang tegas, satu tindakan tegas perlu diadakan supaya persijilan halal ini tidak menjadi bahan yang dipermainkan dan berlakunya penyelewengan.

Seterusnya ialah berkait dengan 010000 - Khidmat Sokongan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Di mana dalam bahagian 010400 - Kecemerlangan Dan Profesionalisme. Saya melihat ini berlaku kegagalan. Mengapa gagal? Walaupun kita telah berpuluh tahun mencapai kemerdekaan sedangkan indeks rasuah sangat menjunamkan negara kita ke suatu tahap yang sangat memalukan walaupun kita menobatkan dan menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana tidak ada unsur Islam di dalam undangundang pencegahan rasuah. Unsur perhitungan dosa dan pahala. Undang-undang yang tidak roh, undang-undang yang menganggap hanya pandangan mata manusia. Tidak melihat diketahui oleh Allah SWT sedangkan dari segi Islam rasuah adalah perkara dosa besar yang diberi amaran oleh Al-Quran, yang diberi amaran oleh hadis-hadis Nabi SAW.

Dianggap amalan kaum Bani Israel, yang dilaknat oleh Allah SWT, mengapa roh ini tidak masuk dalam diri orang Islam? Sebabnya kerana kita tidak memperkasakan undang-undang itu
berdasarkan kepada roh dan sifat yang sebenar, maka berlakulah double standard di dalam tindakan. Seperti disebut rakan-rakan tadi, maka ikan-ikan kecil sahaja yang ditangkap, ikan-ikan yang besar terlepas begitu sahaja, maka berlakunya tindakan yang terpilih.

Kerajaan mestilah merasa malu dan mestilah membuat muhasabah diri dalam menangani masalah dan saya mengharap Perdana Menteri yang baru ini akan membuat perubahan dengan cara yang sebaikbaiknya. - presiden.pas.org.my/

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin