25 November 2009
OSA: MPAJ Perlu Kemukakan Surat Permohonan Kepada JKR Pusat
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas kerajaan pusat kerana berselindung di sebalik alasan birokrasi untuk tidak mendedahkan laporan kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa.
Tan Sri Khalid berkata kejadian tersebut memakan nyawa rakyat Selangor, dan demikian itu pihak-pihak berwajib perlu bertanggungjawab.
Menteri Besar Selangor berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor yang berkata status kerahsiaan dokumen ini tidak dibatalkan kerana tiada permintaan untuk berbuat demikian dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Khalid dengan sinis berkata kerumitan ini adalah mercu birokasi pemerintah, yang menyulitkan perkara yang mudah.
“Saya sudah buat surat, 2 surat 1 sudah tulis surat pada pengarah Jabatan Kerja Raya Persekutuan, lepas tu dia kata surat itu mesti pula dihantar ke kabinet, jadi saya hantar lagi satu surat untuk supaya dia bincangkan perkara ini di kabinet”, katanya.
Selepas setahun mangsa kejadian tanah runtuh terpinga tanpa mengetahui punca kejadian yang membunuh ahli keluarga dan memusnahkan mereka, Tan Sri Khalid menggunakan kuasanya mendedahkan laporan itu ke pengetahuan awam.
Para penduduk dengan harapan yang tinggi bergegas ke MPAJ namun terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas Kerajaan Pusat memberi amaran supaya jangan mendedahkan dokumen itu.
Shaziman dilaporkan telah mengarahkan pihak kementerian menyiasat apakah Khalid telah melanggar undang-undang.
“Keutamaan kita adalah melaksanakan ia, kerana banyak permintaan daripada penduduk Bukit Antarabangsa untuk melihat laporan lengkap bagi membolehkan mereka meneliti dan memahami keadaan sebenarnya”, tambahnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment