12 November 2009

Kickdefella dipecat PMBK tidak gembira di Kelantan?

Syed Azidi mendedahkan bahawa beliau “tidak gembira” berkhidmat di Kelantan. — gambar dari laman blog Kickdefella

Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang dipecat daripada jawatannya sebagai pegawai perhubungan korporat Pejabat Perbadanan Mentri Besar Kelantan (PMBK) kelmarin mendedahkan bahawa beliau sebenarnya “tidak gembira” ketika berkhidmat di Kelantan.

“Saya telah menulis lama dahulu di blog ini bahawa saya menipu diri saya jika saya mengatakan saya gembira di Kelantan.

“Masalah saya bermula dari hari pertama saya menjejakkan kaki di Perbadanan Mentri Besar Kelantan (PMBK) lagi,” kata beliau yang turut dikenali sebagai Kickdefella.

Syed Azidi mula berkhidmat di PMBK sejak April 2006 dan kontrak beliau sepatutnya berakhir April depan.

Dalam tulisan di blognya semalam, Syed Azidi, 39, berkata, perkara pertama yang dimaklumkan kepadanya oleh pengurusan PMBK pada pagi pertama di agensi itu ialah usaha-usaha sedang dijalankan supaya beliau mendapat ruang kerja di luar bangunan agensi agar tidak diganggu oleh menantu mentri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Pada bulan Mac 2008 selepas pilihan raya umum, COO (Ketua Pegawai Operasi) PMBK meminta saya mengosongkan pejabat saya di PMBK untuk memberi ruang bilik pejabat itu kepada seorang pegawai baru.

“Setahun kemudian, saya tidak lagi dijemput menyertai mesyuarat pengurusan PMBK,” kata beliau lagi.

Tulisannya menambah, beliau telah diusir daripada bangunan PMBK oleh dua pegawai PMBK yang bertindak atas arahan ketua pegawai eksekutif ketika menghadiri sesi dialog di situ pertengahan bulan lalu.

Sehubungan itu, kata Syed Azidi, “sekiranya pihak berkuasa (SPRM) memanggil saya, seperti penjawat jawatan awam, bekas penjawat jawatan awam dan juga warga negara Malaysia yang lain, adalah menjadi tanggungjawab memberi kerjasama.”

Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemui ketua pegawai eksekutif PMBK, Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman yang juga menantu Nik Aziz bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan yang dikatakan berlaku dalam perbadanan tersebut.

Ia merupakan kunjungan kedua SPRM ke atas agensi itu.

Pada Ogos tahun lalu SPRM mengunjungi PMBK ekoran surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan yang mempunyai peranan begitu besar.

Tahun lalu, Syed Azidi pernah disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung cadangan agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Dalam tulisannya semalam, Syed Azidi yang menafikan membuat aduan kepada polis atau SPRM memberitahu, beliau telah melafazkan sumpah di hadapan Nik Aziz kelmarin.

“Saya tidak pernah membuat sebarang aduan atau laporan kepada SPRM berhubung PMBK.

“Saya tidak pernah memberi sebarang maklumat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional berhubung PMBK sewaktu sidang DUN yang lalu.

“Setelah melafazkan apa yang ingin saya lafazkan, saya mengucup tangan mentri besar dan meminta maaf sekiranya ada kesilapan di pihak saya sepanjang perkhidmatan saya,” katanya. themalaysianinsider

Lihat Ke Belakang - kickdefella

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese