11 November 2009

Ketua Pemuda PAS Shah Alam nafi letak jawatan kerana tekanan parti

Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, Yang DiPertua PAS Kawasan Besut bersama Ahmad Sayuti Bashiron, Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam di LCCT sebelum berangkat ke Padang, Sumatera, Indonesia, Misi Kemanusiaan Muslim Care Malaysia & Lajnah Antarabangsa DPP Pusat

KENYATAAN MEDIA KETUA DEWAN PEMUDA PAS SHAH ALAM,
BERHUBUNG PERLETAKAN JAWATAN.

1. Saya merujuk kepada dua laporan media pagi ini ;
1.1. TheStar : Youth Chief Ahmad Sayuti Quits Posts In PAS
1.2. AgendaDaily : Ketua Pemuda PAS Shah Alam Letak Jawatan

2. Pertamanya ingin saya tegaskan pihak Barisan Nasional sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan apa jua tindakan demi merosakkan kestabilan Pakatan Rakyat (PR), khususnya di Selangor. Perkara ini amat dirasai dengan kesungguhan UMNO khusunya menimbulkan pelbagai masalah terutamanya di Parlimen Shah Alam yang menjadi ibu negeri Selangor.

3. UMNO cuba menggangu-gugat pentadbiran parti dan kerajaan dengan pelbagai usaha bermula dengan isu hiburan, pengekatan penjualan arak yang diluluskan secara bersama oleh barisan Ahli Majlis MBSA, isu perarakan kepala lembu, isu penghinaan dan ancaman terhadap wakil rakyat, permit khutbah dan lain-lain.

4. Selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam (DPPSA), saya memandang semua perkara yang dilakukan ini adalah untuk merosakkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat, seterusnya menunjukkam sikap sebenar mereka yang masih berada dalam keadaan penafian (state of denial) terhadap kebencian rakyat yang bertambah terhadap Barisan Nisoanal pada masa ini.

5. Laporan media yang saya rujuk hari ini menunjukkan satu lagi memanipulasi berita yang dikuasai oleh Barisan Nasional yang jelas cuba memberikan gambaran palsu terhadap apa yang berlaku, antaranya;
5.1. Perlepasan semua jawatan saya di peringkat Pemuda PAS Pusat dan Pemuda PAS Selangor adalah disebabkan tekanan yang diterima berhubung rakaman ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali yang sedang dikaji oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat.Saya ingin tegaskan kenyataan tersebut adalah fitnah dan berniat buruk. Ingin saya nyatakan hingga kini tiada apa pertanyaan atau sebarang tekanan diterima berhubung rakaman. Saya yakin Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat masih dalam siasatan berkenaan rakaman tersebut, dan akan menghubungi saya jika memerlukan maklumat lanjut berkenaan rakaman yang dimaksudkan.
5.2. Kekesalan terhadap tindakan melakukan rakaman dan penggunaan media untuk melaporkannya.Ingin saya nyatakan rakaman dan serahan bahan tersebut kepada pimpinan PAS dibuat dengan penuh tanggungjawab dan beramanah untuk melihat PAS lebih berjaya di dalam gabungan Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor, tanpa sesekali timbul isu kesal. Ingin saya tegaskan tidak langsung wujudnya elemen penyebaran maklumat tersebut kepada mana-mana media, melainkan ianya hanyalah untuk perhatian pimpinan tertinggi PAS Pusat sahaja.

6. Sebagai Ketua DPPSA, saya menyokong penuh keputusan Mesyuarat Khas PAS Pusat pada 28 Oktober 2009 lalu untuk menyerahkan isu berkaitan PAS Selangor dan tindakan Pesuruhjayanya kepada keputusan yang akan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat. Saya berharap siasatan dilakukan dengan segera dan terperinci terhadap semua bahan bukti yang telah dikemukakan oleh mana-mana pihak kepada Jawatankuasa Tatatertib, dan tindakan tegas hendaklah dikenakan kepada mana-mana individu yang terlibat di dalam menimbulkan polemik tersebut.

7. Saya ingin menegaskan perletakan jawatan saya di peringkat negeri dan pusat sebagai Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, Ketua Lajnah Politik Pemuda PAS Selangor, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor dan Setiauasaha Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Pusat langsung tiada kena mengena dengan apa jua krisis dalaman parti yang sedang ditangani sekarang.

8. Seperti ketegasan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan, keperluan utama perletakan jawatan saya hanyalah kerana tawaran pengajian di luar negara yang diterima oleh isteri saya dan saya turut mengambil keputusan untuk turut mendapatkan tawaran pengajian di negara yang sama selama menemani beliau.

9. Jawatan saya sebagai Ketua Pemuda DPPSA pula akan dipangku oleh Timbalan saya selama ketiadaan saya di dalam negara.

10. Saya berharap kenyataan ini akan memberikan gambaran sebenar terhadap DPPSA dan PAS Kawasan Shah Alam (PKSA) yang menggesa setiap Ahli Parti mendukung penuh keputusan Muktamar PAS baru-baru ini untuk berusaha memperkukuhkan parti dan kedudukannya di dalam Pakatan Rakyat dan menghindarkan segala bentuk polemik yang boleh merosakkan pencapaian tersebut.

11. Saya juga menggesa agar pihak media bersikap amanah dan beretika di dalam melaporkan apa jua berita, tanpa terperangkap di dalam permainan politik Barisan Nasional.

Sekian. Terima Kasih.

Ahmad Sayuti Bin Bashiron
Ketua,Dewan Pemuda PAS Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.
10 November 2009 / 22 ZulQaedah 1430H

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin