29 November 2009

Kelantan perlu MB baru bertaraf ulama

KOTA BHARU – Dewan Ulama Pas Kelantan mengambil pendirian untuk menerima sesiapa saja bakal pengganti Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, namun ia harus datang dari individu yang berstatus ulama.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata, kepimpinan Nik Abdul Aziz sudah menjadi sebati kepada rakyat Kelantan dan adalah perlu pengganti beliau juga harus memiliki ciri-ciri kepimpinan ulama yang ada padanya.

“Untuk meneruskan apa yang Nik Aziz perjuangkan selama ini, kita menerima sesiapa sahaja yang dipilih, namun ia harus datang dari ulama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz sebelum ini yang mendedahkan bahawa beliau sudah mempunyai :barisan pelapis untuk menerajui kepimpinannya selepas ini.

Nik Aziz sebelum itu mengulas mengenai saranan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mahu Menteri Besar Kelantan itu menamakan penggantinya supaya tidak timbul kekalutan dalam Kerajaan Negeri.

Merujuk kepada hierarki kepimpinan Pas Kelantan sekarang, tiga Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Husam Musa dan Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

:Mohamed Daud berkata, adalah langkah yang terbaik sekiranya kepimpinan Pas memilih Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaakob sebagai pengganti Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, Ahmad memiliki ciri-ciri yang ada pada Nik Aziz selain memegang jawatan Timbalan Ketua Ulama Pas di peringkat pusat.

“Apa yang jelas, beliau adalah pemimpin yang tidak suka kepada kontroversi. Ini menunjukkan beliau memiliki rekod yang bersih, sudah tentu ia menjadi pilihan kepada Dewan Ulama,” katanya.

Ditanya adakah kenyataan itu bermakna Datuk Husam Musa tidak layak memegang jawatan itu, Mohamed Daud berkata: “Jika Pas memilihnya kita tidak ada masalah untuk menerima.”

1 comment:

Assassin said...

Projek 'Hasan Ali' di Kelantan berjaya menenggelamkan kes tuntutan royalty minyak! Jangan jadi ngok. Fokus kepada tuntutan royalty minyak. Apa yang berlaku memang tujuan 'Hasan Ali' mengalihkan isu setelah tuannya (baca:umngok) kehabisan hujah!

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin