29 November 2009

Husam: Saya tak pernah ugut Nik Aziz mahu letak jawatan

PETALING JAYA, Nov 29 — Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar) menegaskan beliau tidak pernah sama sekali mengugut untuk meletakkan jawatan di sebalik isu kontroversi yang menyelubungi negeri itu dan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah Exco Kerajaan Negeri itu menambah, beliau juga tidak pernah meminta Nik Aziz agar memecat seseorang termasuk menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang awal minggu ini telah diminta agar melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Awal minggu ini beberapa akhbar arus perdana menyiarkan laporan Husam telah memberi kata dua kepada Nik Aziz sama ada memecat Ariffahmi atau beliau akan meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan negeri.

Beliau didakwa memberikan surat letak jawatan kepada Nik Aziz pada satu pertemuan pada 19 November lalu.

Husam telah pun menafikan berbuat demikian dalam blognya minggu lalu.

Dalam ulasannya hari ini, tegas Husam beliau juga tidak pernah bersandiwara apabila mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz minggu lalu.

"Kalau boleh, Allah angkat saja kesakitan kita pada orang itu. Kalau sandiwara, masakan saya menghantar surat tuntutan saman kepada sebuah akhbar hanya berselang dua hari, terhadap sebuah akhbar mingguan masih dalam proses.

"Ringkasnya, tidak wujud sama sekali saya mengugut untuk meletak jawatan atau Tok Guru memecat orang itu dan ini. Tungguhlah perbicaraan kes ini nanti kalau masih ada yang ragu-ragu," kata Husam dalam rencana tulisannya dikeluarkan oleh Berita Minggu hari ini.

Kata Husam, selepas mengadakan pemeriksaan di Hospital Pakar Perdana pada 19 November lalu beliau telah mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz untuk memaklumkan berhubung rawatan tersebut.

"Entah bagaimana ia sudah ditukar sebagai usaha saya mengugut Tok Guru dan sakit saya itu hanya satu sandiwara semata-mata.

"Yang lain pula membuat cerita cuti sakit adalah permulaan saya akan hilang jawatan," katanya lagi.

Husam, bekas Setiausaha Akhbar Nik Aziz menambah, walau apa juga akan berlaku, "insya-Allah saya akan terus setia dengan Tok Guru."

"Persetiaan kami dalam gerakan Islam adalah persetiaan dunia sampai akhirat.

"Keselamatan di padang Mahsyar nanti adalah hitungannya. Oleh kerana itu, nasihat yang benar adalah ramuan hubungan kami," kata beliau sambil menambah, dengan nasihat-menasihati, percaya-mempercayai yang belum luntur "saya yakin Tok Guru dan saya tiada masalah untuk saya mengambil langkah memberikan kata dua seperti yang didakwa."

Lagi pun, elokkah insan seusia saya memberi kata dua kepada pemimpin seusia Nik Aziz, soal Husam dalam rencana penuh itu.

Ujarnya, Nik Aziz juga tidak akan mengorbankan rekod pencapaiannya yang sudah memuncak.

"Apa lagi untuk mencemarkan reputasi tingginya sebagai orang yang tegas dan berprinsip," kata Husam yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Kelantan menulis bahawa fokus beliau sekarang ialah menyelesaikan soal wang royalti minyak yang menjadi pertikaian antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Inilah yang saya fikirkan hampir saban hari. Bolehkah misi ini saya jayakan dengan meletak jawatan?

"Apa sebab saya nak letak? Kalau orang mereka cerita dan ia cuba dihumbankan pada saya, adakah saya perlu hilang fokus kalau memang saya tak terbabit?

"Saya dikatakan menemui Tok Guru pada Selasa sedangkan hari itu saya berada di Parlimen mengikuti perbahasan mengenai royalti oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz," katanya. themalaysianinsider

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese