17 November 2009

BN Gagal Atasi Masalah Setinggan di Bukit Botak



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid hari ini mendedahkan satu lagi dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, membongkar kegagalan Kerajaan Barisan Nasional menyelesaikan masalah setinggan di Bukit Botak, Selayang sejak 1986 lagi.

Matlamat utama mengatasi masalah limpahan penduduk setinggan yang mendiami Bukit Botak tersasar apabila projek penempatan semula ini gagal menyiapkan kediaman kepada 2,300 keluarga terbabit.

Seluas 201 ekar tanah dikenal pasti terlibat dalam perancangan penyusunan dan penempatan semula setinggan Bukit Botak yang ketika itu, Datuk Ahmad Razali Mohd Ali selaku Menteri Besar Selangor.

Rancangan ini bertukar tangan dan diteruskan apabila Menteri Besar yang baharu, Tan Sri Muhammad Taib meluluskan pelantikan Shah Alam Properties (SAP) sebagai Pengurus Pembangunan Projek malah mereka juga diberi wang pendahuluan sebanyak 17 juta ringgit bagi kerja-kerja pembangunan dan rancangan perbekalan air, elektrik dan lampu jalan.

Bagaimanapun akibat masalah teknikal SAP gagal meneruskan projek tersebut malah terbengkalai pada 1992.

Setelah beberapa tahun kemudian, Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB) pula diberi kepercayaan untuk meneruskan projek tersebut pada 1996, membabitkan 1,367 rumah berkembar seluas 32.99 ekar. Pada ketika itu, Datuk Abu Hassan Omar merupakan Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu DCSB juga gagal menyiapkan rancangan penempatan tersebut, antaranya gagal membuat bayaran premium tanah, tidak menyiapkan rumah transit setinggan terbabit, tidak memperuntukkan wang subsidi sewa sebanyak 300 ringgit, menyiapkan hanya 82 lot rumah berkembar, 52 hak milik digadaikan bank dan gagal menyiapkan projek pemindahan setinggan kos rendah seluas 32 ekar diberi milik.

Umno-BN mengulangi kesilapannya pada pemerintahan Datuk Seri Khir Toyo apabila mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil alih pembinaan 1,367 unit rumah berkembar.

Kemusykilan timbul apabila PKNS melantik DCSB semula sebagai kontraktornya untuk membangunkan 592 unit walhal mereka ternyata gagal pada projek lalu.

Akibatnya PKNS sudah menanggung kos projek sebanyak 48 juta ringgit bagi bayaran kontrak, yuran professional, subsidi sewa, saguhati pemindahan dan kos penamatan kontrak malah jika projek ini diteruskan, PKNS bakal menanggung kerugian 136.4 juta ringgit.

Setelah Pakatan Rakyat memerintah Selangor di bawah pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat seberang penyelewengan atau penipuan berlaku dalam pemberian tanah kepada bekas penduduk setinggan Bukit Botak.

Malah PKNS juga diarahkan menamatkan semua kontrak pembinaan di Bukit Botak bagi mengelakkan kerugian bertambah lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN -TVS

1 comment:

Anonymous said...

Tak susah bro, kerajaan pakatan rakyat sekarang ni jangan dok buat tuduhan lagi pada BN yang dulu dulu tu. Ayuh kita kerja dan siapkan permasalahan bukit botak tu, bila dah siap nanti barulah bongkar dan dedahkan apa yang sepatutnya. Londehkan habis habisan.

Sekarang ni dah menjadi tanggungjawab kepada pemerintah untuk berbudi kepada rakyat jajahan dan taklukan .


Manjung mari

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese