10 November 2009

Asri sedia sertai politik jika dihalang ceramah...

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau sedia menyertai politik sebagai jalan terakhir jika usahanya untuk menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan dengan halangan.

Menurutnya, beliau memang tidak bercadang menyertai politik dan lebih menumpu kepada usaha menyebarkan pemikiran Islam yang dianggap luas kerana Islam adalah agama untuk semua.

"Tapi jika semua pintu tertutup dan saya tidak boleh bercakap melainkan boleh bercakap dalam pentas politik, terpaksa berfikir lain. Saya harap ini tidak akan berlakulah," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mengunjungi Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu hari ini.

Mohd Asri ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini kerana didakwa berceramah tanpa tauliah di negeri itu.

Beliau kemudian dihadapkan ke Mahkamah Syariah tetapi tidak ada pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Asri turut menafikan bahawa pertemuannya dengan Nik Aziz sebagai usaha ke arah mendekati politik.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah sebagai tanda hormat kerana Nik Aziz sebelum ini turut memberi sokongan kepadanya dalam gerakan dakwah. - Bernama

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin