10 November 2009
Akur Kehendak Parti? - Zulkifli Noordin
KENYATAAN AKHBAR / PRESS STATEMENT
Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh YB Sivarasiah yang disiarkan dalam akhbar The STAR dimukasurat N. 17. Beliau dipetik sebagai berkata “amaran Ketua Umum PKR kepada ahli PKR supaya keluar daripada PKR dan menyertai UMNO ditujukan kepada orang saperti Zulkifli Noordin, dimana tindak tanduknya tidak selaras dengan dasar parti”.
Saya ingin menegaskan bahawa itu adalah tafsiran YB Siva sendiri kepada kenyataan DSAI. Adalah jelas daripada mesyuarat yang dipanggil oleh DSAI semalam dipejabatnya yang dihadiri oleh AP PKR bahawa isu utama yang dibincangkan adalah startegi baru PKR untuk melancarkan serangan terhadap YAB Perdana Menteri. Isu kepatuhan kepada dasar parti hanya disebut secara sampingan dan tiada pada bila-bila masa DSAI menyebut ianya dituju kepada saya. Malahan, DSAI melahirkan rasa bangga bahawa saya satu-satunya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang istoqomah dalam membawa isu yang menjadi kepentingan Muslim dan dan orang Melayu. Malah, DSAI menegaskan bahawa adalah juga sangat penting untuk Pakatan menjuarai hak dan keistimewaan Muslim dan orang Melayu, tanpa melupakan hak penganut Kristian, Hindu, Buddha, kaum Cina, India dan lain-lain.
DSAI hanya menyentuh satu isu, itu pun secara umum, iaitu mana-mana AP hendaklah memaklumkan kepada Ketua Whip dan beliau sendiri jika hendak memfailkan apa-apa cadangan pindaan rang undang-undang persendirian dan usul ke Parlimen. DSAI tiada pada bila-bila masa menyebut bahawa saya melanggar apa-apa polisi parti.
Saya ingin bertanya kepada YB Siva dan yang sewaktu dengannya, apa yang beliau maksudkan dengan mematuhi polisi parti. Polisi siapa yang beliau maksudkan? Polisi beliau? Apakah membela dan memperjuangkan hak Islam dan orang Muslim bertentangan dengan dasar PKR?
DSAI sendiri dihukum dan dipenjarakan selama 6 tahun kerana enggan akur kepada kehendak parti (UMNO masa itu). Kerana perjuangan dan jihad beliau untuk menobatkan kebebasan bersuara dan hak asasi kemanusiaan dan hak untuk menyatakan pendapatlah maka gerakan Reformasi dilancarkan. Itulah perbezaan fundamental diantara Pakatan Rakyat dan BN. Premis perjuangan Pakatan Rakyat tertegak diatas hak asasi kemanusiaan ini, Islam dan Muslim juga mempunyai hak yang perlu dipertahan dan diperjuangkan. Apa yang telah saya pertahan dan perjuangkan adalah hak Islam dan Muslim. Apakah ianya satu dosa bagi PKR? Apakah hak asasi kemanusiaan hanya bermaksud hak orang lain, dan Islam serta Muslim tiada hak langsung tetapi mesti akur dan patuh kepada hak orang lain?!
Ianya adalah satu tragedi bagi demokrasi dan hak asasi kemanusiaan jika orang semacam YB Siva diberi ruang untuk menggariskan apa itu demokrasi dan hak asasi kemanusiaan; bahawa demokrasi dan hak asasi kemanusiaan hanya menjadi demokrasi dan hak asasi jika mereka mengesahkannya. Dan jika membela dan mempertahankan Islam dan Muslim tidak termasuk dalam ruang lingkup demokrasi dan hak asasi kemanusiaan dalam PKR, maka saya berpendapat itu adalah hukuman bunuh kepada demokrasi dan hak asasi kemanusiaan di Malaysia.
Nasihat saya kepada YB Siva dan yang sewaktu dengannya, “apa yang baik untuk kamu tidak semestinya baik bagi orang lain”
Saya ingin mengeaskan apa yang saya telah sebut secara konsisten dan istiqomah; mempertahankan dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim adalah sesuatu yang sangat berharga bagi saya. Saya mungkin bukan Muslim yang terbaik, tetapi saya akan melakukan yang terbaik untuk Islam. Saya adalah Muslim dahulu, Ahli Parlimen kedua. Saya adalah Muslim dahulu, ahli parti kedua. Apabila tiba harinya saya terpaksa memilih diantara Islam dan parti, saya tanpa sedikit keraguann pun akan pasti memilih Islam.
Dan saya mencabar YB Siva, sila letak jawatan beliau sebagaio Naib Presiden dalam tempoh 24 jam dan mari kita bertanding satu lawan satu. Mari kita berikan hak demokrasi dan bersuara kepada ahli akar umbi PKR membuat keputusan samada mempertahan dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim menjadi dasar PKR ataupun tidak. Jika saya tertewas, maka saya bersedia pada bila-bila masa untuk meninggalkan PKR, kerana parti yang tidak mahu mempertahan, membela dan memperjuangkan Islam dan hak Muslim bukanlah parti yang saya mahu bersekutu dengannya.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Selasa
22 Zulqaedah 1430
10 November 2009
(zul4kulim.blogspot.com)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment