26 November 2009

Ahmad Yaakob: Nik Aziz tak perlu umum pengganti sekarang

Timbalan Mentri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang menerima sokongan dua Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu mengambil sikap rendah diri dengan menegaskan tidak perlu ada pelan peralihan sekarang yang memerlukan Mentri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menamakan penggantinya.

Oleh kerana Nik Aziz masih sihat, Ahmad yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan berkata, beliau boleh meneruskan kepimpinannya sebagai Mentri Besar.

“Tiada keadaan terdesak. Mentri Besar masih OK... boleh teruskan jawatan dia. Sebenarnya benda ini tak ada apa-apa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Pandangan itu diberikan beberapa jam selepas Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang turut bersetuju supaya Ahmad dilantik Mentri Besar menggantikan Nik Aziz kelak.

Pendirian yang serupa juga dilahirkan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa semalam.

Husam berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Mentri Besar Kelantan untuk menggantikan Nik Aziz.

Mohd Amar dan Husam juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Isnin lalu Mohd Amar mengesyorkan agar Nik Aziz menyatakan pelan peralihan pucuk kepimpinan kerajaan negeri dengan menamakan bakal penggantinya.

Mohd Amar berkata tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, beliau secara peribadi menyatakan sokongan itu berdasarkan kedudukan Timbalan Mentri Besar itu sebagai pemimpin paling senior dalam kepimpinan kerajaan negeri itu.

Selepas 19 tahun mengetuai kepimpinan pentadbiran negeri, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS kelmarin membayangkan sudah aha barisan pelapis yang bakal menggantikan beliau.

Bagaimanapun Nik Aziz enggan membayangkan nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya itu tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hiraki dalam parti di peringkat negeri.

Ketika mengulas lanjut, Ahmad berkata soal pemilihan pengganti Nik Aziz seharusnya melalui saluran parti.

“Bagi saya perkara ini mesti melalui saluran. Dalam parti ada forumnya, perkara ini tak mendesak, Tok Guru boleh teruskan,” tambah Ahmad.

Dalam pada itu, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Kelantan Abdul Fattah Mahmood berkata, perkara berkaitan pelan peralihan seharusnya diputuskan oleh kepimpinan parti.

“Kita ada jawatankuasa pusat, ada dewan harian untuk bincangkan.

“Seelok-eloknya buat keputusan dalam mesyuarat dengan sama-sama semua kepimpinan,” katanya lagi.

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese