28 October 2009

Tiga Exco akan di gugurkan - Terengganu

KUALA TERENGGANU – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali dikatakan berikrar untuk taat setia kepada Menteri Besar Dato’ Ahmad Said mengukuhkan dakwaan, satu rombakan ahli Exco kerajaan negeri Terengganu akan berlaku.

Sumber dari pusat pentadbiran kerajaan negeri, Wisma Darul Iman memberitahu, rombakan tersebut akan berlaku selepas sidang DUN Disember ini atau pada awal tahun hadapan.

Walaupun ’cakap-cakap’ berkaitan rombakan ahli Exco Terengganu sudah banyak kali dihebohkan, bahkan pernah dinafikan oleh Ahmad, namun berita mengenainya tetap muncul kembali.

Pada Oktober tahun lalu, Ahmad Said pernah mengugut untuk memecat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad yang juga ADUN Pengkalan Berangan kerana mengengkari arahan beliau.

Ahmad berkata beliau berhak menggugurkan Yahya kerana ia terletak di bawah bidang kuasanya.

"Saya kira apa (kehendak peringkat akar umbi)? Kehendak saya dia kena ikut juga. Saya menteri besar dan ada hak terhadap Exco saya...saya yang lantik. Hak bahagian melantik ketua bahagian, hak saya melantik Exco.

“Dua keadaan berbeza. Dia tak langgar disiplin parti, tapi langgar arahan saya," katanya.

"Saya mengarahkan semua Exco supaya tidak terbabit dalam pertandingan jawatan utama peringkat bahagian sebelum pertandingan peringkat cawangan lagi kerana saya minta mereka beri tumpuan kepada jawatan dalam kerajaan dan biar orang lain pegang jawatan ketua bahagian, kecuali jika dia memang dah ketua bahagian. Itu arahan saya jelas," tambah Ahmad ketika itu.


Menurut sumber tersebut, rombakan Exco pada kali ini adalah bertujuan untuk menguatkan barisan pentadbiran Ahmad setelah sebahagian ADUN dari ‘Geng 10 budak hitam’ kembali menyokongnya.

Ahmad dilaporkan telah mendapat ’ketenangan’ dalam politik setelah satu kumpulan ADUN yang berbalah dengannya, berikrar kembali taat setia kepadanya.

Pada 16 September sekumpulan tujuh ADUN Terengganu diketuai oleh Dato’ Din Adam mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Antara ADUN yang hadir ialah ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), Wan Mohd Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) dan ADUN Hulu Besut, Nawi Muhamad.

Din dilaporkan mengumumkan pendirian mereka dan menjelaskan hubungan sesama ADUN terbabit dengan Menteri Besar, Ahmad Said adalah sentiasa baik dan tidak pernah timbul soal perpecahan.

“Kita tiada masalah dengan Menteri Besar, kita juga akur kepada pelantikan yang telah dibuat, kita tidak sesekali akan derhaka,” kata Din.

Namun, pemerhati politik melihat, pertemuan Din dan kumpulannya ke Putrajaya adalah untuk memperkuatkan pengaruh Hishamudin di Terengganu, selain mencari ’laba politik’ untuk diri masing-masing.

Ekoran pertemuan itu, Din telah dilantik Hishamudin sebagai Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri, menjadikannya orang yang paling berkuasa dan berpengaruh di Terengganu masakini.

Oleh yang demikian, giliran mereka yang bersama Din pula dibalas jasanya.

Justeru, tiga orang dikalangan sepuluh Exco kerajaan negeri yang masih bermasalah dengan Ahmad Said bakal digugurkan.

Menurut sumber itu lagi, salah seorang daripadanya telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan kerana masalah dalaman Umno dan MB Terengganu yang tidak berkesudahan.

Seorang daripadanya dikatakan ‘rela dan redha’ sekiranya beliau digugurkan dari jawatan Exco, kerana tindakan dan cakap-cakapnya begitu ’bebas dan sudah tidak terbatas’.

”Manakala individu yang ketiga, sudah banyak kali disebut-sebut akan digugurkan kerana beliau memang amat tidak disenangi oleh MB,”kata sumber tersebut.

Oleh yang demikian, sebagai gantinya, tiga orang akan dipilih di kalangan ‘Geng 10 budak hitam’ yang telah berpaling tadah dan kembali ke pangkuan Ahmad Said. BO

No comments:

Anda mungkin juga meminati:

Blog Widget by LinkWithin
EnglishFrenchGermanSpainPortugueseRussianDutchItalianChinese SimplifiedArabicKoreanJapanese